BERGSON da Silva (dua kiri) antara pemain yang boleh jadi penyerang terbaik. FOTO Arkib NSTP
BERGSON da Silva (dua kiri) antara pemain yang boleh jadi penyerang terbaik. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Langkah berjimat cermat dalam mendapatkan pemain import pada awal musim ini berikutan pandemik Covid-19 menyaksikan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) dijangka 'membeli belah' untuk membawa tonggak baharu pada jendela perpindahan kedua bermula 3 Mei ini.

Antara pasukan yang berkemungkinan 'menyalin kulit' adalah tujuh pasukan pertengahan carta liga hingga tangga tercorot seperti UiTM FC, Sri Pahang FC, Melaka United, Selangor FC, Perak FC, Kuala Lumpur City dan Sabah FC.

Ia bagi memperkukuhkan kembali kekuatan pasukan yang dilihat kurang konsisten serta impak tonggak import yang kurang berkesan khususnya sepanjang 11 aksi di pusingan pertama Liga Super sebelum ini.

Menurut bekas pemain kebangsaan dan Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, kehadiran pemain import berkualiti sememangnya penting bagi mengimbangi dan membawa nilai tambah kepada kekuatan pasukan.

Malah, kehadiran pemain berstatus bintang atau 'marquee player' tidak mustahil untuk di bawa pada jendela perpindahan kedua nanti kerana ia bakal menarik minat penyokong bagi mengikuti pasukan itu.

"Kalau kita tengok musim ini dengan masalah Covid-19, rata-rata pasukan hanya ambil pemain import ala kadar sahaja. Kira banyak pasukan ukur baju pada badan sendiri.

"Tapi sekarang kita boleh tengok sudah ada rungutan sama daripada pengurusan pasukan atau peminat yang mahu pemain import ditukarkan. Ada sebahagian dilihat hanya sebagai penumpang dan ada juga yang tercedera hingga tak dapat bagi impak.

"Mungkin di awal musim tak mahu belanja banyak dan apa hasil yang diraih sekarang, itu sebenarnya apa yang belanjakan. Jadi tak hairan lepas ini pasukan akan tukar pemain import dan mungkin bawa yang ada nama," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat usaha beberapa pasukan untuk membawa bintang import baharu pada jendela perpindahan kedua ini.

Pemain tengah Jepun, Keisuke Honda dikaitkan antara pemain baharu Selangor FC untuk memeriahkan liga tempatan, sekali gus menambah senarai bintang dunia yang pernah beraksi di Liga M seperti Pablo Aimar bersama JDT pada 2013-2014 serta El Hadji Diouf bermain untuk Sabah 2014-2015.

"Nak serikan liga kena ada pemain bintang supaya kebolehan pemain itu akan tarik ramai orang dan ia akan lebih meriah. Macam liga kita sekarang pun nak kata import di tahap biasa-biasa saja.

"Cuma yang saya nampak JDT saja bijak, walaupun pemain sekarang tak ada nama, tetapi mereka bawa pemain yang bagus seperti Bergson da Silva. Dia antara pemain yang boleh jadi penyerang terbaik, malah nisbah jaringannya pun tinggi. Pemain macam dia baru aura liga kita naik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 6:20 AM