ODEGAARD buktikan kemampuannya. FOTO EPA
ODEGAARD buktikan kemampuannya. FOTO EPA
AFP

London: Martin Odegaard mengetuai barisan serangan Arsenal dalam memburu kejuaraan Liga Perdana (EPL) apabila pemain tengah Norway itu akhirnya membuktikan potensinya yang dipamerkan ketika remaja.

Apabila pendahulu liga, Arsenal akan melayan kunjungan Manchester United malam esok Odegaard, akan menjadi tumpuan dalam aksi yang sepatutnya membuktikan kemampuan sebenarnya.

Dipuji sebagai remaja paling berbakat dalam generasinya, Odegaard membuat penampilan sulung di peringkat senior bersama Stromsgodset pada 2014 ketika berusia 15 tahun dan menjadi pemain termuda Norway tahun itu.

Dia memilih kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada 2015 dan menjadi pemain termuda dalam sejarah kelab itu, berusia 16 tahun dan 157 hari.

Namun dia bergelut untuk mendapatkan tempat di Madrid dan dipinjamkan beberapa kali.

Keadaan turut tidak memihak kepadanya di Heerenveen, Vitesse Arnhem dan Real Sociedad Odegaard menggambarkan bahawa tidak dapat memenuhi janji awalnya namun dia kembali menjadi tumpuan apabila pengendali Arsenal, Mikel Arteta membawanya secara pinjaman untuk separuh kedua musim 2020/21.

Walaupun begitu, keputusan Real untuk menjualnya kepada Gunners pada harga kira-kira £30 juta (RM159.20 juta) pada 2021 ditafsirkan sebagai bukti dia tidak akan mencapai gred pada tahap tertinggi.

Ketika kariernya perlu kembali diperbetulkan, Odegaard mengambil peluang di EPL.

Diberikan lilitan kapten Arsenal oleh Arteta musim ini, Odegaard membalas kepercayaan pengurusnya apabila muncul sebagai watak utama dalam usaha mereka mengejar gelaran EPL.

Pemain berusia 24 tahun itu sudah meledak lapan gol dan lima bantuan gol dalam 17 aksi liga musim ini.

Odegaard, yang menang anugerah pemain terbaik EPL bagi bulan November dan Disember, mengagumkan Arteta menerusi aksi baiknya ketika menang 2-0 mengatasi tetangga utara London, Tottenham.

"Terutama pada babak pertama, saya rasa dia menakjubkan," katanya. "Dia menunjukkan kehadiran yang berbeza.

"Ia cara dia mempengaruhi permainan, dengan perasaan, cara pergerakannya. Apa yang dihasilkannya di tengah padang adalah berbeza. Pujian terhadapnya."

Sebelum ini dia hanya dikenali sebagai pemain biasa di padang dan selepas diberikan kepercayaan selaku kapten, Odegaard menjadi lebih bersuara dan kehadirannya lebih menyerlah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 10:32 AM