SAKA kecewa selepas sepakan penaltinya tersasar ketika menentang West Ham, semalam. FOTO AFP
SAKA kecewa selepas sepakan penaltinya tersasar ketika menentang West Ham, semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Mikel Arteta mengesahkan Bukayo Saka akan terus mengambil sepakan penalti untuk Arsenal, sekalipun gagal menyempurnakannya ketika seri 2-2 dengan West Ham, semalam.

Ketika Arsenal mendahului 2-1, mereka berpeluang menjarakkan kedudukan, namun sepakan penalti Saka tersasar.

The Hammers kemudian menghukum kesilapan itu apabila Jarrod Bowen menjaringkan gol penyamaan, tidak lama kemudian.

Keputusan seri 2-2 itu menyaksikan Arsenal hanya memiliki kelebihan empat mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengatasi juara bertahan, Manchester City yang bermain kurang satu perlawanan.

Saka memohon maaf kepada penyokong Arsenal susulan kesilapan itu, tetapi ia bukan kali pertama pemain berusia 21 tahun itu gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Dia gagal menyempurnakannya di final Euro 2020 sehingga England tewas kepada Itali, tetapi Arteta tidak pernah meragui kemampuannya menyempurnakan sepakan penalti.

"Jika saya terpaksa pilih seorang pemain untuk ambil sepakan penalti, saya akan pilih dia sekali lagi. Ada masa kami gagal, tetapi inilah bola sepak," kata Arteta.

Sekalipun masih muda, Saka diakui antara penyumbang gol buat Arsenal termasuk dipilih Pemain Terbaik Musim bagi dua tahun terakhir dan sekali lagi menikmati musim cemerlang dengan menjaringkan 12 gol dan 10 bantuan jaringan di EPL.

Menerusi Instagram, Saka meminta maaf kepada penyokong kelab dengan menyatakan: "Tidak kiralah apa hasilnya. Saya sentiasa memikul tanggungjawab. Minta maaf kepada Gunners, saya akan lakukan apa saja untuk memperbetulkannya semula."

Pemain seperti Granit Xhaka dan Gabriel Magalhaes mengirim mesej sebagai tanda sokong, begitu juga bekas kapten Arsenal, Alexandre Lacazette.

Kapten Arsenal ketika ini, Martin Odegaard menulis: "Sentiasa bersama bro, kita terus melangkah."

Kegagalan semalam adalah kali pertama dialami Saka di EPL selepas menewaskan Edouard Mendy, David de Gea, Alisson dan Ederson dalam empat sepakan penalti sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 10:04 PM