KAPTEN baharu Arsenal, Martin Odegaard (kanan) memeluk Jesus yang meledak hatrik ketika membelasah Sevilla, 6-0 di Stadium Emirates, semalam. FOTO REUTERS
KAPTEN baharu Arsenal, Martin Odegaard (kanan) memeluk Jesus yang meledak hatrik ketika membelasah Sevilla, 6-0 di Stadium Emirates, semalam. FOTO REUTERS
Reuters

London: Pemain tengah Norway, Martin Odegaard dinamakan sebagai kapten baharu Arsenal bagi musim 2022-23, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, semalam.

Odegaard, 23, kali pertama hadir sebagai pemain pinjaman dari Real Madrid pada Januari 2021 dan selepas meyakinkan pengurus, Mikel Arteta, kelab itu menjadikannya sebagai pemain tetap dengan bayaran 35 juta euros (RM159.28 juta) pada Ogos tahun lalu.

Tugas pertama Odegaard sebagai kapten Arsenal adalah ketika kelab itu membelasah Sevilla, 6-0 pada perlawanan pramusim, semalam apabila penyerang baharu mereka, Gabriel Jesus meledak hatrik.

"Sudah tentu saya gembira, bangga dan berterima kasih dengan kepercayaan ini dan memilih saya sebagai kapten.

"Ia adalah pencapaian besar buat saya dan sangat bagus berada dalam pasukan hebat seperti ini dan saya akan menikmatinya," kata Odegaard.

Arsenal tidak memiliki kapten tetap sejak Arteta melucutkan lilitan lengan daripada Pierre-Emerick Aubameyang pada musim lalu sebelum penyerang Gabon itu berhijrah ke Barcelona pada awal tahun ini.

Rakannya di posisi serangan Alexandre Lacazette memakai lilitan lengan pada separuh kedua musim lalu, tetapi penyerang Perancis itu hilang tempat dalam kesebelasan utama dan kini kembali bersama bekas kelabnya, Olympique Lyonnais.

Bagaimanapun, lilitan lengan bukan asing bagi Odegaard yang menjadi kapten skuad kebangsaan Norway sejak Mac tahun lalu.

"Dia mewakili nilai bola sepak kelab ini, rakan sepasukan, staf. Dia dihormati semua orang di kelab.

"Saya bangga mengumumkannya sebagai kapten Arsenal," kata Arteta selepas kemenangan itu dan Arsenal akan memulakan kempen EPL di Crystal Palace pada Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 9:59 AM