Pemain tengah Real Madrid, Martin Odegaard yang dipinjamkan ke Arsenal musim lalu. FOTO Agensi
Pemain tengah Real Madrid, Martin Odegaard yang dipinjamkan ke Arsenal musim lalu. FOTO Agensi
Agensi

Madrid: Perancang tengah Real Madrid, Martin Odegaard memuat naik ucapan selamat tinggal buat Arsenal dan seolah-olah seperti sudah mengetahui dia tidak akan menyertai kelab Inggeris itu dengan perjanjian tetap.

Kapten Norway pantas menawan hati peminat dan Mikel Arteta ketika dipinjamkan ke Stadium Emirates, mencetak dua gol dan dua bantuan gol dalam 20 penampilan buat Gunners dalam semua kejohanan.

Arsenal difahamkan berhasrat mengekalkan pemain itu dengan kontrak tetap tetapi ciapan yang dikongsi oleh Odegaard di Instagram jelas membayangkan tempohnya di kelab utara London itu sudah berakhir.

Odegaard mencatat: "@Arsenal, Terima kasih bagi tempoh enam bulan ini. Masa saya bersama keluarga Arsenal akan sentiasa menjadi tempat istimewa dalam hati saya.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua yang berada di dalam dan luar kelab dengan cara anda membuatkan saya berasa sebahagian daripada keluarga anda sejak dari hari pertama.

"Terima kasih yang sangat istimewa kepada peminat, sekalipun tanpa anda semua di stadium bagi hampir keseluruhan musim, saya rasakan anda bersama saya sepanjang masa.

"Ucapan penghargaan kepada bos dan kakitangannya untuk semuanya yang saya pelajari ketika di sana. Terima kasih juga kepada semua rakan sepasukan kerana mengharungi waktu yang hebat di luar dan dalam padang. Saya akan merindui anda semua. Terima kasih, keluarga Gunners. Anda sentiasa dalam hati saya."

Arsenal juga gagal menandatangani Emiliano Buendia ketika mereka mengintai pilihan lain yang lebih kreatif, tetapi kelab itu dikatakan sudah memperoleh persetujuan perjanjian baharu bagi mendapatkan Emile Smith Rowe.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 9:57 PM