AKSI pemain Melaka United FC (jersi biru) ketika menentang Sarawak United, 15 Oktober lalu. FOTO FB MELAKA UNITED FC
AKSI pemain Melaka United FC (jersi biru) ketika menentang Sarawak United, 15 Oktober lalu. FOTO FB MELAKA UNITED FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib malang terus menghantui pemain Melaka United apabila dikhabarkan tunggakan gaji mereka secara keseluruhan berjumlah RM2.3 juta.

Jumlah itu adalah bayaran untuk setengah tahun atau bersamaan dengan enam bulan beraksi untuk pasukan secara percuma.

Jumlah terbabit didedahkan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang kini masih gagal dilunaskan pasukan terbabit walaupun sudah pelbagai cara digunakan untuk menagih tunggakan itu.

Menerusi kenyataan, PFAM memaklumkan, semalam adalah tarikh akhir bagi notis yang dihantar ke Melaka United FC menerusi pihaknya untuk melunaskan tunggakan gaji yang dihadapi pemain.

"Tunggakan gaji bermula daripada Julai sehingga Disember tahun lalu menyebabkan pemain Melaka United FC berdepan dengan situasi enam bulan tidak bergaji.

"Lebih mendukacitakan, pemain yang mempunyai komitmen bulanan terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga sehingga berulang kali menerima panggilan daripada pihak bank untuk menyelesaikan pembayaran bulanan.

"Realiti yang dihadapi oleh pemain Melaka United amat mendukacitakan kerana sebagai pemain bola sepak profesional di dalam negara, mendapat bayaran gaji daripada majikan berdasarkan kepada persetujuan di dalam kontrak adalah hak yang sewajarnya dipenuhi.

"Mereka merayu seolah-seolah meminta bantuan ataupun seolah-olah mereka melakukan kesalahan untuk menerima gaji mereka sendiri," katanya.

Selain itu, pada 4 November tahun lalu, keputusan sudah dikeluarkan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan bagi kelab Melaka United untuk melunaskan jumlah satu bulan gaji terlebih dahulu, namun sehingga kini, jumlah itu masih gagal untuk dibayar.

"Terkini, laporan tunggakan gaji bagi bulan berikutnya sudah dihantar ke FAM bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.

"Pada masa sama, isu pemilikan yang timbul di dalam Melaka United mengeruhkan lagi keadaan kerana pihak pihak yang sewajarnya bertanggungjawab untuk menangani masalah tunggakan gaji ini dilihat seolah-olah tidak mahu memberi kerjasama," katanya.

Berikutan itu, PFAM bertegas untuk membawa pihak bertanggungjawab untuk melunaskan bayaran gaji terhadap pemain ke muka pengadilan bagi mereka yang terjejas.

Mengikut rekod, Melaka United bergelut dengan masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji pemain dan isu itu memuncak pada penghujung saingan Liga Super musim lalu.

Malah, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan Melaka United untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat ditetapkan.

Turut tersingkir daripada saingan Liga Super ialah Sarawak United FC walaupun tempoh seminggu diberikan badan First Instance Body (FIB) untuk kedua-dua pasukan itu menyerahkan dokumen berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 8:17 PM