JUMLAH keseluruhan hutang pemain berjumlah RM400,000. FOTO Sarawak United
JUMLAH keseluruhan hutang pemain berjumlah RM400,000. FOTO Sarawak United
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Satu persatu isu membabitkan tunggakan gaji di kalangan pasukan Liga Malaysia (Liga M) 'dilondehkan' dengan terbaharu Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan bahawa jumlah keseluruhan hutang pemain Sarawak United sudah mencecah lebih RM400,000.

Menerusi kenyataan media PFAM memaklumkan bahawa pihaknya sudah menghantar laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan terhadap masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain Sarawak United FC.

Malah, PFAM juga sudah menghantar notis terbaru kepada Sarawak United FC pada 17 Januari lalu supaya tunggakan gaji yang kini mencecah empat bulan untuk segera dilunaskan.

"Masalah tunggakan gaji yang berlarutan ini telah bermula sejak September tahun lalu dan kebanyakan pemain Sarawak United FC sudah pun menamatkan tempoh kontrak bersama pasukan itu.

"Namun, sehingga kini masih menunggu tunggakan bayaran dilunaskan oleh pihak Sarawak United FC.

"Walaupun pihak Sarawak United FC memberikan maklum balas terhadap notis yang dihantar daripada PFAM, namun satu langkah konkrit untuk membayar segala tunggakan gaji terhadap pemain dilihat masih tidak jelas dan perkara ini perlu diberi perhatian dengan lebih serius," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan nasib malang terus menghantui pemain Melaka United apabila dikhabarkan tunggakan gaji mereka secara keseluruhan berjumlah RM 2.3 juta iaitu setengah tahun atau bersamaan dengan enam bulan beraksi untuk pasukan secara percuma.

Jumlah terbabit didedahkan PFAM yang kini masih lagi gagal dilunaskan pasukan terbabit walaupun sudah pelbagai cara digunakan untuk menagih tunggakan itu.

Selain itu, PFAM juga meminta Sarawak United FC perlu menghormati tempoh masa pembayaran gaji yang sudah dipersetujui di dalam kontrak kerana ketika inipemain turut terkesan akibat tidak mempunyai pendapatan bulanan yang sepatutnya diterima bagi menguruskan komitmen bulanan.

"PFAM memandang serius terhadap isu tunggakan yang berlarutan ini kerana bukan sahaja perkara ini menjejaskan kebajikan dan hak pemain sebaliknya PFAM berhasrat untuk mengelakkan situasi ini untuk terus berlaku pada masa akan datang," katanya.

Mengikut rekod, Sarawak United dan Melaka United bergelut dengan masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji pemain dan isu itu memuncak pada penghujung saingan Liga Super musim lalu.

Malah, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan kedua-dua pasukan itu untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 5:41 PM