VILLA semakin mengganas di bawah kendalian Emery. -FOTO Reuters
VILLA semakin mengganas di bawah kendalian Emery. -FOTO Reuters
AFP

Birmingham: Kebangkitan Aston Villa di bawah kendalian Unai Emery diteruskan dengan kemenangan 2-1 ke atas Leeds di Villa awal pagi tadi.

Leon Bailey dan Emi Buendia masing-masing menjaringkan gol pada kedua-dua babak untuk Villa bangkit daripada kegagalan mengejut terkeluar dari saingan Piala FA kepada pasukan Liga Dua, Stevenage minggu lalu.

Patrick Bamford menjaringkan gol sagu hati buat Lees tujuh minit sebelum tamat dan kekalahan itu menyaksikan anak buah Jesse Marsch kini dua mata di atas zon penyingkiran.

Villa kini kekal di kedudukan ke-11, sama mata dengan Chelsea selepas hanya mencatatkan satu kekalahan dalam enam perlawanan liga sejak Emery mengambil alih tugas pada Oktober lalu.

Bailey sebelum ini menangis selepas wisel penamat perlawanan liga sebelum ini selepas Villa terlepas peluang terbaik untuk menang ke atas Wolves.

Pemain Jamaica itu pantas membalas dengan membuka jaringan selepas hanya tiga minit dengan sepakan baik ke penjuru.

"Ia pastinya melegakan apabila melihat bola itu masuk. Ia akhirnya datang," kata Bailey.

"Saya pernah lalui saat apabila bola tidak masuk tetapi saya gembira mengambil peluang itu hari ini."

Selepas itu Leeds mendominasi babak pertama tetapi penyudah tumpul, tidak bernasib baik dan persembahan cemerlang Emiliano Martinez di gawang Villa menghalang mereka.

"Kami mempamerkan aksi yang menunjukkan kami adalah pasukan yang lebih baik, tapi yang lebih penting ia adalah persembahan lengkap pernah saya saya saksikan dalam sebuah pasukan," kata Marsch.

"Jelas ia mengecewakan kerana satu mata amat penting ketika ini dan anda lihat ketegangan situasi itu, tapi jika kami boleh bermain seperti ini, kami ada sesuatu untuk dibangunkan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 8:06 AM