BAILEY Braun
BAILEY Braun
Agensi

MIAMI: Akibat kelalaian pemandu Uber, seorang remaja perempuan di sini, terkena tembakan pada kakinya apabila pistol milik lelaki itu tertembak ketika dia mahu memindahkannya dari tempat duduk untuk dimasukkan ke dalam sarung.

Bailey Braun, 15, dikejarkan ke hospital akibat pendarahan teruk selepas kakinya terkena tembakan dalam kejadian ketika dia bersama teman lelakinya menaiki teksi Uber itu di utara Miami, Ahad lalu.

Menurut Daily Mail, pemandu Uber itu yang dikenal pasti sebagai Adrian Harper, 27, kini menghadapi tuduhan cuai sehingga menyebabkan kemudaratan.

Dalam laporan polis, Harper berkata, dia mahu memindahkan pistol yang diletak di sebelahnya di atas tempat duduk untuk memasukkannya ke dalam sarung di tepi pintu pemandu apabila terlepas tembakan tanpa sengaja.

Bailey yang duduk di belakang pemandu terkena tembakan pada buku lalinya.

NBC News memetik remaja itu berkata: “Kami tiba-tiba terdengar bunyi letupan dan telinga kami terasa bingit.

“Saya tidak berasa apa-apa tetapi ketika mengangkat kaki untuk keluar dari kereta, saya melihat banyak darah pada kaki.”

Menurut Bailey, Harper segera membantunya sambil berulang kali meminta maaf.

Harper digantung oleh Uber, namun Bailey berharap dia dipenjarakan.

Menurut Uber dalam kenyataan, pihaknya sudah menggantung Harper daripada mengakses aplikasi Uber dan bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang.”

Menurut syarikat itu, pemandu dan pelanggan dilarang membawa senjata api.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 7:41 AM