PENGURUS Leeds, Jesse Marsch (tengah) mengakui sukar untuk melepaskan Raphinha (kanan). FOTO REUTERS
PENGURUS Leeds, Jesse Marsch (tengah) mengakui sukar untuk melepaskan Raphinha (kanan). FOTO REUTERS
Agensi

London: Barcelona mengesahkan mencapai persetujuan dengan Leeds untuk menandatangani Raphinha dan pemain Brazil itu akan melengkapkan perpindahan ke Nou Camp sebaik melepasi ujian perubatan.

Kelab itu mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan, hari ini, dengan yuran perpindahan £56 juta (RM295 juta) membuatkan Leeds sanggup melepaskan pemain bintang mereka itu.

Penyerang berusia 25 tahun itu yang berlatih di pusat latihan Leeds, Thorp Arch pada Selasa, dijangka menandatangani kontrak selama lima tahun.

Chelsea dan Arsenal turut menyatakan minat untuk mendapatkan penyerang itu, dan difahamkan Raphinha lebih gemar ke Stamford Bridge jika terpaksa memilih di antara dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Tetapi, apabila Barcelona menunjukkan minat terhadapnya, hanya ada satu penyelesaian sahaja.

"Memang sukar apabila melihat dia pergi, saya tahu memang impiannya untuk bermain bersama Barcelona," kata pengurus Leeds, Jesse Marsch.

"Ada pergerakan tersendiri dengan Barcelona, kami fikir ia akan selesai dengan cepat, tetapi setakat ini belum selesai lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 10:19 PM