PENYERANG Crystal Palace, Christian Benteke (tengah) melakukan sepakan gunting sambil cuba dihalang pertahanan Leeds United, Diego Llorente (kiri) dan Robin Koch pada perlawanan di Selhurst Park. FOTO AFP
PENYERANG Crystal Palace, Christian Benteke (tengah) melakukan sepakan gunting sambil cuba dihalang pertahanan Leeds United, Diego Llorente (kiri) dan Robin Koch pada perlawanan di Selhurst Park. FOTO AFP
AFP

London: Leeds hanya mampu seri 0-0 di Crystal Palace yang mengelak mereka terperosok ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Anak buah Jesse Marsch terselamat daripada asakan bertali arus pasukan Palace diketuai Wilfried Zaha selepas dia didakwa sengaja menjatuhkan diri.

Leeds kini lima mata di atas zon penyingkiran, tetapi pasukan ketiga dari bawah, Everton memiliki kelebihan satu perlawanan dan boleh merapatkan jurang kepada dua mata saja.

Tiga lagi perlawanan Leeds selepas ini adalah menentang Manchester City, Arsenal dan Chelsea dan mungkin memberi kesudahan mengerikan kepada kelab Yorkshire itu.

Leeds merangkul 11 mata daripada tujuh perlawanan sejak dikendalikan Marsch, yang menggantikan Marcelo Bielsa yang dipecat.

Di sebalik prestasi baik, kemenangan kedua berturut-turut diraih Burnley ketika menewaskan Wolves, Sabtu lalu, melonjak pasukan itu keluar dari zon penyingkiran dan mengatasi Everton, menyebabkan Leeds turut terpaksa berjuang.

"Ini bukanlah malam terbaik kami, tetapi paling utama tidak kalah dan mencari jalan untuk mengumpul mata. Kami akan mengambilnya secara positif," kata Marsch.

"Kami perlu mencari jalan sebelum keadaan semakin berbahaya, namun tidak dibolosi dan seri adalah pencapaian positif."

"Tekanan di zon penyingkiran sentiasa ada dan kami akan terus berjuang."

Marsch dan pengurus Palace, Patrick Vieira bertarung sembilan kali di Amerika Syarikat ketika masing-masing mengemudi pasukan New York Red Bulls dan New York City FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 8:12 AM