ALEXANDRE Polking. FOTO Bernama
ALEXANDRE Polking. FOTO Bernama
Syafiq Aznan


Bangkok: Jaringan kedua Malaysia yang dibatalkan pengadil, Kim Dae Yong ketika menentang Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022, Sabtu lalu adalah 'sah'.

Ia diakui sendiri pengendali Thailand, Alexandre Polking yang mengupas mengenai insiden itu ketika ditanya mengenai kewajaran tambahan masa yang lebih panjang selepas masa permainan banyak 'terbuang' dengan insiden di atas padang.

"Secara jujurnya, saya lihat jaringan kedua itu adalah gol. Tetapi insiden itu memakan masa lima minit.

"Kemudian kita dapat peluang menerusi Ekanit (Phaya), penjaga gol terbaring selama dua minit.

"Dengan pelbagai insiden berlaku dan penggantian pemain dilakukan, hanya lima minit masa tambahan diberikan.

"Bukan saya merungut tetapi kami mahu bermain dan saya bercakap demi bola sepak untuk kedua dua pasukan," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Thammasat, petang tadi.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Malaysia berjaya meledak gol kedua pada minit ke-55 menerusi Dominic Tan.

Namun jaringan itu dibatalkan selepas pemain negara dikatakan mengasari pemain Thailand sekali gus menyaksikan skuad negara membawa bekalan satu gol ke Stadium Thammasat, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 9:05 PM