FAISAL Halim diasak oleh pemain Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum ini. FOTO Aswadi Alias
FAISAL Halim diasak oleh pemain Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum ini. FOTO Aswadi Alias
Syafiq Aznan


Bangkok: Apa sahaja taktikal yang bakal digunakan oleh Malaysia tidak akan 'dihiraukan' oleh Thailand walaupun menyedari hakikat di mana mereka kini ketinggalan dengan satu gol.

Ini kerana pengendalinya, Alexandre Polking yakin anak buahnya mampu 'menjejakkan kaki' ke final Piala AFF 2022 sekiranya berjaya tampil dengan aksi seperti separuh akhir pertama di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

"Saya percaya kami beraksi sangat baik di Malaysia. Anda (Malaysia) menang jadi anda tak perlu lagi menjaringkan gol.

"Tetapi saya tidak tahu mengenai pendekatan Malaysia untuk perlawanan malam esok. Kami lebih fokus kepada perancangan kita dan tidak fikir mengenai pasukan lawan.

"Ada perubahan yang akan dijangkakan tetapi kita perlu beraksi seperti dua hari lalu. Jika kita dapat mengulangi persembahan seperti itu, kita akan mara ke final," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Thammasat, petang tadi.

Dalam masa sama, Polking gembira dengan kehadiran penyokong yang jelas akan membantu misi skuad 'Gajah Perang' untuk mencetus kebangkitan.

"Kita bermain di laman sendiri dan dengan kehadiran penyokong, mereka akan memberikan motivasi sepanjang 90 minit bersama kita.

"Kita pasti dapat bangkit daripada ketinggalan satu gol. Semoga kita dapat meraikan kejayaan (ke final) bersama sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 9:17 PM