TIKET separuh akhir pertama Piala AFF dijual pada harga RM40 hingga RM70 sekeping, sedangkan harga sebenar ditetapkan FAM adalah RM30 .
TIKET separuh akhir pertama Piala AFF dijual pada harga RM40 hingga RM70 sekeping, sedangkan harga sebenar ditetapkan FAM adalah RM30 .
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: RM40 hingga RM70 sekeping, itu harga tiket ditawarkan ulat tiket atas talian untuk aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Harimau Malaya dan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Tinjauan Arena Metro di beberapa platform jual beli atas talian mendapati ada penjual mengambil kesempatan atas jumlah tiket terhad disebabkan 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan untuk konsert artis terkenal Taiwan, Jay Chou.

Difahamkan, wujudnya permintaan daripada peminat menjadi faktor kepada kewujudan penjualan secara tidak sah selain faktor perlawanan itu jatuh pada hari cuti iaitu Sabtu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan semalam mengumumkan hanya 59,000 tiket akan ditawarkan kerana 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan berikutan dihalang struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata, pihaknya dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu, namun situasi itu tidak dapat dielakkan.

Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir Piala AFF sebagai naib juara Kumpulan B dengan mengutip sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 pada Selasa lalu.

Vietnam pula muncul juara kumpulan dengan 10 mata, manakala Singapura tersingkir apabila menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata.

Skuad negara akan ke Thailand untuk aksi separuh akhir kedua pada Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 8:22 PM