POLKING (kiri) bersama bek kiri Thailand, Sasalak Haiprakhon pada sidang media di SNBJ, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
POLKING (kiri) bersama bek kiri Thailand, Sasalak Haiprakhon pada sidang media di SNBJ, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kehilangan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi separuh akhir pertama Piala AFF adalah satu rahmat buat Thailand yang akan turun menentang Harimau Malaya, malam esok.

Pengendali Thailand, Alexandre Polking berkata, sorakan penyokong Malaysia sememangnya boleh memberi 'mimpi buruk' buat mana-mana pasukan yang beraksi di SNBJ, namun situasi itu nampaknya tidak akan berlaku nanti.

Katanya, kekurangan jumlah penonton harus digunakan sebaiknya oleh skuad Gajah Perang yang mengidamkan untuk melakar keputusan positif di depan 59,000 penyokong tuan rumah.

"Kami hanya fokus untuk menguatkan mental pemain kerana aksi sukar bermain di stadium besar (di SNBJ). Kami sebenarnya agak bertuah apabila adanya konsert yang mengehadkan jumlah kehadiran sehingga 21,000.

"Ia situasi menggembirakan kami, tetapi kami tahu ia masih lagi perlawanan sukar buat kami dan pemain harus fokus sepanjang perlawanan," katanya pada sidang media pra perlawanan di SNBJ, hari ini.

Terdahulu, 'rumah' Harimau Malaya yang boleh memuatkan hampir 85,000 penyokong terpaksa dikurangkan gara-gara konsert artis terkenal Taiwan, Jay Chou pada 15 Januari ini.

Sebaliknya, hanya 59,000 tiket ditawarkan kepada 'pemain ke-12' Harimau Malaya yang sudah habis terjual dalam tempoh 24 jam semalam, biarpun aksi itu hanya akan dilangsungkan malam esok.

Ujar Polking, kunci untuk memenangi perlawanan malam esok adalah mengekalkan fokus sepanjang aksi tanpa menghiraukan sorakan penyokong tuan rumah.

"Pemain kena fokus dan tidak melakukan kesilapan kerana ia akan membuatkan penonton menjerit untuk lawan membuat kesilapan.

"Saya percaya kekuatan mental pemain adalah tinggi dan mampu mengatasi halangan malam esok sebelum bermain di tempat sendiri, Selasa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 5:06 PM