REAKSI kecewa pemain kebangsaan selepas tewas pada perlawanan Kumpulan B, Piala AFF menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Selasa lalu. FOTO Bernama
REAKSI kecewa pemain kebangsaan selepas tewas pada perlawanan Kumpulan B, Piala AFF menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Selasa lalu. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kisah penuh kontroversi perlawanan ketiga kumpulan B Piala AFF membabitkan Malaysia menentang Vietnam sudah berakhir dengan skuad Harimau Malaya perlu 'move on' iaitu fokus kepada perlawanan menentang Singapura kelak.

Peringatan itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang turut mahu semua pihak menerima hakikat Vietnam beraksi lebih baik daripada skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, ketika ini tiada guna untuk terus 'koyak' terhadap keputusan yang tidak menyebelahi Harimau Malaya kerana peluang masih lagi terbuka apabila perlu menang bertemu Singapura, Selasa ini.

"Fokus kepada perlawanan menentang Singapura kerana keputusan tidak akan berubah iaitu kita tetap tewas di tangan Vietnam. Cerita pengadil Jepun itu hanya sebahagian daripada pelengkap keputusan perlawanan yang berpihak kepada tuan rumah. Kita jangan 'koyak'.

"Segera lupakan insiden itu, semua perlu fokus untuk menewaskan Singapura dan melangkah ke separuh akhir. Jika ada rezeki mungkin boleh membuat perhitungan sekali lagi dengan pasukan ini.

"Bab kontroversi dengan keputusan pengadil yang dicurigai itu biarlah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berurusan secara rasmi melalui pihak berkaitan," katanya.

Terdahulu, keputusan pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti dan kad merah yang penuh kontroversi meranapkan peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam apabila tewas 3-0 di Stadium Kebangsaan My Dinh, Rabu lalu.

Pada perlawanan terbabit Malaysia tewas menerusi jaringan yang disumbangkan Nguyen Tien Linh (29'),Que Ngoc Hai (penalti minit ke-64) dan Nguyen Hoang Duc pada minit 83.

Namun, isu berkenaan terus hangat diperkatakan terutama di kalangan penyokong bola sepak tanah air yang melihat keputusan oleh pengadil perlawanan Ryuji Sato tidak adil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 4:32 PM