PENGADIL dikatakan salah memberikan sepakan penalti. -FOTO Portal
PENGADIL dikatakan salah memberikan sepakan penalti. -FOTO Portal
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kad merah benar namun sepakan penalti tidak perlu diberikan kepada pasukan Vietnam jika pengadil perlawanan, Ryuji Sato melihat kekasaran pertama yang dilakukan pemain tuan rumah, Doan Van Hau terhadap pertahanan Malaysia, Azam Azmi Murad dalam aksi Piala AFF di Hanoi malam tadi.

Bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan bahawa sebenarnya terdapat dua kebarangkalian yang berlaku dalam insiden kad merah dan penalti membabitkan skuad Harimau Malaya pada perlawanan itu.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang yang termaktub dalam Fifa menjelaskan jika insiden itu berlaku di luar padang permainan dan berhampiran dengan kawasan penalti semasa permainan masih diteruskan maka perlu dimulakan dengan sepakan penalti.

Katanya, insiden terbabit bermula dengan tolakan daripada pemain pasukan Vietnam itu mungkin telah berlaku tindak balas oleh pemain Azam Azmi maka kad merah perlu diberikan.

"Dilihat dari video yang kurang jelas, kesalahan pertama dilakukan oleh pemain pasukan Vietnam. Maklumat utama perlu diberitahu kepada pengadil adalah kesalahan dilakukan oleh pemain Vietnam, kemudian berlaku tindak balas oleh pemain Malaysia.

"Kalau berlaku tindak balas tersebut maka kad merah boleh diberikan, tetapi permainan perlu dimulakan semula dengan sepakan percuma kerana tolakan yang diberikan oleh pemain Vietnam.

"Insiden selepas itu barulah boleh diberikan kad merah kepada pemain Malaysia jika benar dia ada membuat tindak balas kepada pemain Vietnam tersebut," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pengadil perlawanan pada itu mungkin telah terlepas pandang dengan insiden pertama tolakan pemain Vietnam terbabit.

"Jika insiden pertama tidak diambil kira maka keputusan untuk memberi sepakan penalti adalah betul mengikut peraturan perlawanan," katanya.

Terdahulu, keputusan pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti dan kad merah yang penuh kontroversi meranapkan peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam apabila tewas 3-0 di Stadium Kebangsaan My Dinh, malam tadi.

Pada perlawanan terbabit Malaysia tewas menerusi jaringan yang disumbangkan Nguyen Tien Linh (29'),Que Ngoc Hai (penalti pada minit 64) dan Nguyen Hoang Duc pada minit 83.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 1:23 PM