REAKSI Pan-gon pada aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, semalam. FOTO Bernama
REAKSI Pan-gon pada aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 di antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, semalam. FOTO Bernama
Zulfaizan Mansor


Hanoi: Tiada siapa yang suka dengan kekalahan, namun tewas 0-3 di tangan Vietnam dalam aksi kontroversi di Stadium My Dinh, semalam mencetuskan suasana 'panas' terutama dalam kalangan penyokong Harimau Malaya.

Layangan kad kuning kedua yang diberikan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato kepada Nguyen Van Toan pada minit ke-33 seakan memberi harapan besar skuad kendalian Kim Pan-gon untuk bangkit selepas ketinggalan satu gol hasil jaringan Nguyen Tien Linh minit ke-29.

Namun, harapan itu musnah susulan penalti kontroversi yang diberikan kepada Vietnam pada minit ke-59 selain bencana lebih buruk melanda kem negara apabila tonggak pertahanan, Azam Azmi Murad dilayangkan kad merah kerana didakwa mengasari Doan Van Hau diluar garisan padang.

Kejayaan Que Ngoc Hai menyudahkan sepakan penalti dan keupayaan tenaga pemain Vietnam kembali menyamai Malaysia apabila kedua-duanya pasukan beraksi dengan 10 pemain, ia menyaksikan anak buah Park Hang Seo sekelip mata mendapat kelebihan besar untuk memenangi perlawanan.

Justeru, insiden penalti diberikan kepada Vietnam dan kad merah diterima Azam boleh dianggap sebagai 'bom' yang memusnahkan keseluruhan permainan Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan B itu.

Tidak dinafikan kualiti permainan dipamerkan Vietnam lebih baik berbanding Malaysia, namun semua mata boleh menyaksikan bagaimana insiden itu mencetuskan kembali semangat mereka dan dapat beraksi lebih selesa selepas itu sehingga berjaya menambah gol ketiga ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Walaupun pahit untuk ditelan, namun hakikatnya tiada apa lagi yang boleh dilakukan Harimau Malaya kerana keputusan perlawanan adalah muktamad dan ia tidak akan dimainkan semula.

Malah, penjelasan terperinci juga sudah diberikan oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai insiden itu.

Paling penting insiden itu sebenarnya patut dijadikan pengajaran berguna supaya perkara sama dapat dielakkan pada perlawanan akan datang.

Jadi, mahu atau tidak, Harimau Malaya perlu lupakan kekalahan dan kontroversi berdepan Vietnam kerana peluang untuk mereka layak ke pusingan separuh akhir masih terbuka.

Fokus utama Pan-gon ketika ini adalah perlu mempersiapkan 'jentera' terbaik untuk memerangkap pasukan jiran, Singapura dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Dalam erti kata lain, memperbaiki segala kelemahan yang ada menjadi perkara lebih mustahak buat Harimau Malaya ketika ini berbanding mempertikai atau merungut mengenai keputusan pengadil ketika berdepan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 3:52 PM