ANTARA aksi Malaysia bertemu Vietnam di Hanoi, Selasa lalu. FOTO Bernama
ANTARA aksi Malaysia bertemu Vietnam di Hanoi, Selasa lalu. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berdiam diri isu mutu pengadilan perlawanan Piala AFF apabila menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) untuk tindakan lanjut.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa tindakan itu dibuat selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram.

Beliau berkata, Sivasundram sudah melakukan perbincangan dan meneliti klip video beberapa insiden sepanjang perlawanan Kumpulan B, Piala AFF 2022 ketika Vietnam menentang Malaysia di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa lalu.

"Susulan itu, surat rasmi yang menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan.

"Surat itu dihantar ke Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu," katanya.

Terdahulu, keputusan pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti dan kad merah yang penuh kontroversi meranapkan peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam apabila tewas 3-0.

Pada perlawanan terbabit Malaysia tewas menerusi jaringan yang disumbangkan Nguyen Tien Linh (29'),Que Ngoc Hai (penalti minit ke-64) dan Nguyen Hoang Duc pada minit ke-83.

Namun, isu berkenaan terus hangat diperkatakan terutama di kalangan penyokong bola sepak tanah air yang melihat keputusan oleh pengadil perlawanan Ryuji Sato tidak adil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 8:19 PM