PEMAIN KL City, Romel  Morales  diasak pemain PJ City, Kannan Kalaiselvan,  di Stadium Bolasepak Cheras.
PEMAIN KL City, Romel Morales diasak pemain PJ City, Kannan Kalaiselvan, di Stadium Bolasepak Cheras.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan sekali gus membuatkan PJ City dahagakan tiga mata penting apabila bertemu Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Pengurus pasukan K Rajendran berkata, walaupun melihat barisan pemain Sabah cukup berpengalaman dan konsisten, itu bukanlah alasan buat PJ City untuk 'merelakan' pasukan mereka terus kempunan meraih kemenangan.

Beliau berkata, ketika ini barisan pemain dalam keadaan optimum tanpa kecederaan serius melanda tonggak utama sekali gus tiada masalah untuk memberi tentangan sengit kepada pasukan pelawat.

"Saya boleh katakan sekarang ini PJ City dahagakan kemenangan iatu mahu tiga mata penting bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam Liga Super. "Pasukan tidak menghadapi sebarang masalah cuma tidak kita tidak bernasib baik apabila dalam lima perlawanan terdahulu menyaksikan hanya mencatat keputusan tiga seri dan dua kekalahan.

"Sudah pastinya, saya mahu pemain bangkit dan mempamerkan aksi terbaik mereka supaya perlawanan esok dapat meraih kemenangan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, walaupun tiada penyingkiran pasukan pada musim depan, Rajendran berkata itu bukanlah alasan untuk PJ City beraksi secara ala kadar kerana sasaran utama untuk musim ini adalah berada dalam kelompok teratas liga.

"Semua pemain tetap fokus dengan matlamat pasukan untuk berada di kelompok terbaik liga kerana perkara itu penting bagi membuktikan skuad tanpa awang import tetap mampu mencipta keputusan positif dalam saingan Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 5:41 PM