ZAMSAHAM pelik apabila tiada pihak berminat ambil alih MUFC, SUFC. FOTO ARKIB NSTP
ZAMSAHAM pelik apabila tiada pihak berminat ambil alih MUFC, SUFC. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik The Red Warriors, Norizam Tukiman atau Zamsaham pelik apabila tiada individu atau syarikat berminat mengambil alih pasukan besar seperti Sarawak United FC (SUFC) dan Melaka United FC (MUFC).

Norizam menerusi kenyataan di Facebook (FB) rasminya memaklumkan, dua pasukan terbabit bukanlah 'biasa-biasa' apabila mempunyai penyokong yang ramai, sekali gus mampu memberi pulangan pada pelaburan untuk masa akan datang.

Malah, beliau mempersoalkan pasukan buatan Malaysia iaitu Petaling Jaya City (PJ City) turut tiada yang berminat untuk ambil alih skuad itu, sekali gus menyaksikan mereka menarik diri daripada beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

"Kenapa tak ada orang beli pasukan Melaka dan Sarawak ya? Tidak pun PJ City? Kenapa tak ada orang nak melabur dalam pasukan bola…

"Nak kata kecil, tak juga sebab Sarawak ada penduduk 3.5 juta dan Melaka 1 juta. Fans base (penyokong pasukan) besar juga dan fanatik," katanya.

PJ City mengambil keputusan menarik diri daripada bersaing untuk Liga Super musim depan manakala SUFC dan MUFC pula terkeluar daripada saingan kerana sebab tertentu.

MUFC dan SUFC gagal mendapatkan lesen untuk bermain dalam Liga M 2023 ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan terbabit.

PJ City pula sah menarik diri dari Liga M kerana matlamat kelab itu untuk tampil sebagai pasukan sepenuhnya pemain tempatan dilihat tidak bersesuaian dengan hala tuju penstrukturan Liga Malaysia 2023 yang membenarkan semua pasukan memiliki sembilan import.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 6:08 PM