HANG Seo pada sidang media aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala AFF. -FOTO Bernama
HANG Seo pada sidang media aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala AFF. -FOTO Bernama
Daripada Zulfaizan Mansor


Hanoi: Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo seakan merendah diri apabila menyifatkan pasukan Malaysia ketika ini adalah yang terbaik walaupun mengharungi kempen Piala AFF 2022 tanpa beberapa tonggak utama.

Tidak dapat dipastikan sama ada itu kata-kata jujur atau ia hanya perang psikologi yang cuba dimainkan pengendali dari Korea Selatan itu menjelang pertembungan Vietnam dan Malaysia dalam aksi Kumpulan B di Stadium My Dinh, esok.

Ia kerana Hang Seo terkenal dengan muslihat licik dalam memerangkap lawan apatah lagi dia memiliki rekod baik dan tidak pernah kalah berdepan Malaysia sejak membimbing Vietnam pada 2017.

"Saya fikir pasukan Malaysia ketika ini adalah skuad terbaik. Mereka ada pengalaman yang baik dan apa yang kami perlu lakukan adalah meletakkan pemain serta formasi yang sesuai untuk berdepan Malaysia.

"Saya bertuah ada rekod yang baik berdepan Malaysia, tapi saya tidak pasti mengenai perlawanan esok. Kami hanya mahu lakukan yang terbaik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hang Seo merekodkan lima kemenangan dan satu seri dalam enam pertembungan dengan Malaysia yang mana sebahagian besarnya di pentas Piala AFF.

Vietnam yang baru beraksi satu perlawanan ketinggalan tiga mata di belakang Malaysia dengan mereka boleh merampas kedudukan teratas kumpulan seandainya meraih kemenangan, esok.

Selain itu, Hang Seo memuji pencapaian ketua jurulatih Malaysia yang juga rakan senegaranya, Kim Pan Gon apabila berjaya meningkatkan prestasi Harimau Malaya ketika ini.

"Dia (Pan Gon) jurulatih yang bagus dan ada banyak pengalaman terutama ketika bersama skuad kebangsaan Hong Kong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 2:03 PM