BRENDAN Gan diasak oleh pemain pasukan Vietnam. -FOTO Bernama
BRENDAN Gan diasak oleh pemain pasukan Vietnam. -FOTO Bernama
Daripada Zulfaizan Mansor di Hanoi


Hanoi: Selepas berjaya menundukkan Malaysia dan Laos, misi Vietnam yang seterusnya adalah untuk mengatasi Singapura dalam saingan Piala AFF 2022 di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu bagaimanapun mengakui bukan tugas mudah bakal diharungi anak buahnya selepas skuad Singa juga pasti akan bermain mati-matian untuk muncul juara Kumpulan B.

"Sekarang kami hanya bermain dua daripada empat perlawanan keseluruhan. Bagi saya setiap perlawanan adalah perjalanan seterusnya dan setiap perlawanan kami cuba buat yang terbaik untuk dapatkan keputusan positif," katanya.

Hang Seo berkata demikian pada sidang media selepas pasukannya menewaskan Malaysia 3-0 dalam perlawanan yang dipalit kontroversi di Stadium My Dinh, malam tadi.

Tiga mata yang diraih itu membawa Vietnam ke tangga teratas kumpulan ketika ini, namun berkongsi enam mata bersama Malaysia dan Singapura.

Keadaan itu menyaksikan skuad Golden Star Warriors, Harimau Malaya dan skuad Singa masih berpeluang untuk mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

Selain itu, Hang Seo yang tidak pernah tewas dalam tujuh pertembungan berdepan Malaysia sejak mengemudi Vietnam pada 2017 mengakui gembira kejayaan anak buahnya yang sekali lagi menjinakkan Harimau Malaya.

"Saya sangat gembira, sebelum perlawanan saya katakan kepada pemain tolong dapatkan kemenangan sebagai ucapan selamat tinggal kepada tahun 2022.

"Kami juga mahu memberikan hadiah kemenangan kepada penyokong, dan saya berterima kasih kepada pemain kerana tunaikan janji mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 1:27 PM