Penyerang Croatia, Bruno Petkovic (kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya menjelang aksi separuh akhir berdepan Argentina. FOTO AP
Penyerang Croatia, Bruno Petkovic (kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya menjelang aksi separuh akhir berdepan Argentina. FOTO AP
Reuters

Doha: Croatia tidak akan cuba menghalang superstar Argentina, Lionel Messi dengan kawalan individu sebaliknya akan memberi tumpuan untuk melumpuhkan keseluruhan pasukan dalam separuh akhir Piala Dunia awal pagi, Rabu ini.

Croatia mengintai peluang mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas tewas pada kejohanan 2018 kepada Perancis.

Mereka menyingkirkan pasukan pilihan kejohanan, Brazil di suku akhir dekat Qatar selepas ketinggalan satu gol pada tambahan masa tetapi bangkit pada lewat permainan dengan gol penyamaan dan memaksa penentuan penalti yang dimenangi Croatia.

"Kami tidak mempunyai perancangan yang khusus untuk menghalang Messi dan kebiasaannya kami tidak akan memberi tumpuan untuk menghalang seorang pemain sebaliknya pada keseluruhan pasukan.

"Kami akan cuba menghalang mereka dalam satu pasukan dan tidak kepada kawalan secara individu. Argentina bukan hanya mengenai Messi, mereka mempunyai beberapa pemain bagus. Kami harus menghalang keseluruhan pasukan Argentina," kata penyerang Croatia, Bruno Petkovic.

Messi pemenang tujuh kali Ballon D'Or setakat ini menjadi tonggak Argentina, yang turut memerlukan penalti selepas mendahului dua gol menentang Belanda pada aksi suku akhir.

Tanpa masalah pemain digantung dan kebimbangan mengenai kecederaan susulan penyertaan semula pertahanan Croatia, Borna Sosa, Zlatko Dalic bersama pasukan meningkatkan lagi keyakinan dan bersedia untuk berdepan saingan lebih mencabar.

Pemain tengah mereka membabitkan Kapten, Luka Modric, Mateo Kovacic dan Marcelo Brozovic akan menjadi kunci mengawal rentak sama seperti ketika dilakukan menentang Brazil, dan pertahanan Josip Juranovic berkata pengaruh trio itu sangat berkesan.

"Mateo, Luka dan Marcelo adalah tonggak tengah terbaik dalam sejarah Croatia. Saya tak fikir ia dapat diulangi. Apabila anda menghantar bola kepada mereka ia lebih selamat daripada menyimpan wang dalam bank," kata pemain pertahanan itu.

Pemain gantian, Petkovic meledak gol penyamaan minit ke-117 berdepan Brazil untuk memaksa penentuan penalti dengan Croatia kini menang kesemua empat penentuan penalti sepanjang aksi pada Piala Dunia.

"Saya fikir ramai orang yang bukan pemain bola sepak profesional mampu berjaya dalam penalti.

"Perbezaannya bagaimana kekuatan mental anda. Terdapat tekanan kuat yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Tapi ia juga membantu apabila anda memiliki penjaga gol bertaraf dunia." kata Petkovic.

Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic menyelamatkan satu sepakan penalti berdepan Brazil juga menafikan tiga penalti pada saingan 16 terbaik berdepan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 1:31 AM