REAKSI Scaloni (kanan) ketika mengarahkan anak buahnya pada perlawanan hari ini. FOTO AP
REAKSI Scaloni (kanan) ketika mengarahkan anak buahnya pada perlawanan hari ini. FOTO AP
AFP

Doha: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mengakui sukar untuk tidak meraikan kejayaan pasukannya selepas menewaskan Croatia pada separuh akhir Piala Dunia, hari ini.

Namun beliau menggesa barisan pemainnya untuk segera fokus kepada perlawanan final.

Kapten Argentina, Lionel Messi menyempurnakan penalti dan kemudian mencipta dua gol untuk penyerang Manchester City, Julian Alvarez ketika Argentina menang 3-0 di Stadium Lusail sekali gus untuk mara ke pentas final Ahad ini menentang sama ada penyandang juara, Perancis atau Maghribi.

"Keputusan itu tidak menggambarkan perlawanan sebenar. Saya rasa kami berhak untuk menang tetapi tidak dengan jumlah jaringan seperti itu," kata Scaloni.

Beliau menyaksikan pasukan bimbingannya mendahului selepas dianugerahkan sepakan penalti selepas setengah jam perlawanan apabila Alvarez dikasari.

Scaloni berkata beliau menjangkakan pasukannya akan menghadapi perlawanan yang sukar menentang Croatia yang diperkuat oleh Luka Modric.

"Pada mulanya mereka menguasai permainan tetapi kami sudah menjangkakannya kerana mereka mempunyai tiga pemain tengah berkaliber yang sudah beraksi bersama sejak sekian lama dan mempunyai persefahaman yang baik.

"Kami sedar begitulah corak permainan yang akan dipamerkan tetapi perlawanan kembali terbuka selepas kami memperoleh penalti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 10:35 AM