PEMAIN Jerman berlatih menjelang perlawanan penting dengan Sepanyol. FOTO AFP
PEMAIN Jerman berlatih menjelang perlawanan penting dengan Sepanyol. FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan: Jerman berdepan kemungkinan tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia dua kali berturut-turut apabila berdepan Sepanyol, Ahad ini.

Malah, jurulatih, Hansi Flick terpaksa bekerja lebih masa untuk membuat persiapan terbaik dan membangkitkan semangat pemainnya selepas tewas mengejut 1-2 kepada Jepun pada perlawanan pertama Kumpulan E.

Juara dunia empat kali itu tersingkir awal kali pertama dalam 80 tahun pada 2018 dan di Qatar, mereka sekali lagi berdepan situasi sama.

Selepas mendahului 1-0 hasil penguasaan pada babak pertama, Jerman longlai di babak kedua apabila membenarkan Jepun menjaringkan dua gol berikutan kesilapan individu termasuk bek tengah, Niklas Suele yang menjadi punca gol kedua.

Pada ketika perbincangan menjelang aksi pertama itu lebih menumpukan kepada sama ada Flick akan menggunakan penyerang tengah sejati seperti Niclas Fuellkrug sejak awal, masalah benteng sudah lama membelenggu Jerman dan keputusan aksi terbaru itu bermakna bahagian itu memerlukan peningkatan.

Mereka dibolosi enam gol dalam empat perlawanan antarabangsa terakhir, tetapi kini terpaksa mencari jalan untuk menyekat Sepanyol yang membelasah Costa Rica 7-0 pada aksi pembukaan.

Bagaimanapun, pemain Jerman bukan saja tertekan akibat kekalahan pertama di tangan Jepun, malah dikritik berkaitan lilitan lengan pelangi apabila mereka membuat pusingan U selepas Fifa memberi amaran akan menyekat pasukan itu jika mereka memakainya.

Jerman akur walaupun sudah berjanji untuk memakainya hanya 48 jam sebelum perlawanan.

Manakala Sepanyol langsung tidak dihimpit tekanan seperti membelenggu musuh mereka di Eropah itu.

Selepas beberapa tahun diharap merangkul gelaran, Sepanyol melangkah ke Qatar 2022 dengan bebanan lebih ringan di bawah bimbingan Luis Enrique dan sudah mencipta rekod baharu.

Pemain Barcelona berusia 18 tahun, Gavi muncul pemain termuda negara itu di Piala Dunia dan penjaaring gol termuda sejak legenda Brazil, Pele pada 1958, selepas menjaringkan gol ketika membelasah Costa Rica.

Mereka bukan pasukan pilihan menjelang kejohanan seperti Brazil, Argentina dan Perancis, tetapi kemenangan ke atas Costa Rica itu membuatkan selera mereka semakin bertambah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 2:00 AM