PEMAIN Jepun berlatih menjelang perlawanan penting dengan Sepanyol. FOTO Reuters
PEMAIN Jepun berlatih menjelang perlawanan penting dengan Sepanyol. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Berbanding pasukan lain, Sepanyol dan Jepun memulakan kempen Piala Dunia dengan cemerlang, tetapi penyokong mereka menantikan perlawanan terakhir Kumpulan E dengan debaran pasukan mana akan kekal di Qatar selepas Khamis ini.

Sepanyol berada di tangga teratas kumpulan paling sukar itu selepas membelasah Costa Rica 7-0 pada perlawanan pembukaan, sebelum seri 1-1 dengan Jerman.

Jika seri pada perlawanan di Stadium Khalifa International, Khamis ini, anak buah Luis Enrique akan mara ke pusingan kalah mati dan jika menang, akan menduduki tangga teratas kumpulan.

Jepun pula memulakan kempen dengan kebangkitan dan mencipta kemenangan mengejut 2-1 ke atas Jerman, tetapi terlepas peluang walaupun menguasai perlawanan apabila tewas 0-1 kepada Costa Rica, yang baru melakukan satu percubaan tepat ke sasaran di kejohanan ini.

Keputusan seri boleh memastikan Samurai Biru melangkah ke pusingan kalah mati buat kali keempat dalam tujuh Piala Dunia, tetapi Jerman boleh memintas mereka jika menang dengan jaringan besar ke atas Costa Rica.

Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu sedar apa yang mahu dilakukan pasukannya, tetapi kurang pasti sama ada mereka berupaya melakukannya.

"Kami mesti menang, itu saja yang perlu difikirkan ketika ini," katanya selepas tewas kepada Costa Rica.

"Menewaskan Jerman tidak bermakna kami mampu mengalahkan Sepanyol, kedua-dua pasukan adalah juara Piala Dunia dan kami menghormati mereka, tetapi kami mampu menundukkan Jerman."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 11:46 PM