FLICK sedar anak buahnya sudah menunjukkan kebangkitan. FOTO EPA
FLICK sedar anak buahnya sudah menunjukkan kebangkitan. FOTO EPA
Reuters

Al Khor: Gol penyamaan Jerman di hujung saingan ketika seri 1-1 dengan Sepanyol mampu menjadi pembakar semangat yang diperlukan mereka untuk layak ke pusingan kalah mati.

Pengendali Jerman, Hansi Flick berkata, ia boleh mengubah nasib Jerman di kejohanan itu walaupun mereka hanya seri.

Pemain gantian Niklas Fuellkrug meledak gol penyamaan pada minit ke-83 untuk menafikan gol pendahuluan Sepanyol dan membolehkan juara dunia empat kali itu mata pertama mereka selepas dua perlawanan berikutan kekalahan mengejut kepada Jepun sebelum ini.

Gol itu mengekalkan harapan mereka untuk mara menjelang perlawanan terakhir Kumpulan E menentang Costa Rica Jumaat ini dengan wajib mencatat kemenangan.

"Kami tahu apa yang dipertaruhkan. Sepanyol bermain bola sepak yang bagus tetapi berada pada tahap yang sama dan kami mempunyai peluang besar untuk memenanginya

"Semua akan menjadi mudah apabila anda mula mencatat kemenangan. Mungkin inilah pembakar semangat yang kami perlukan," kata Flick.

Pemain Jerman, Leroy Sane terlepas peluang keemasan di dalam petak penalti seminit sebelum tamat namun Flick berkata, beliau tetap berpuas hati persembahan pasukan.

"Mereka berjuang habis-habisan dan saya sangat berpuas hati dengan mentaliti mereka. Inilah perkara yang kami mahukan dan kami sedar sudah mengambil langkah pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 1:42 PM