Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu. FOTO AP
Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu. FOTO AP
AFP

Doha: Prestasi Jepun menarik perhatian di Piala Dunia namun jurulatih Hajime Moriyasu memberi amaran kepada pemainnya tidak terlalu terbawa-bawa dengan emosi tatkala melakukan persediaan berdepan Sepanyol, Jumaat ini.

Skuad Samurai Biru berpeluang layak ke pusingan kalah mati jika berjaya menewaskan Sepanyol dalam aksi terakhir mereka bagi Kumpulan E tetapi mereka terpaksa berusaha lebih gigih selepas tewas kepada Costa Rica.

Kekalahan 1-0 pada Ahad hadir beberapa hari selepas mempamerkan kebangkitan menakjubkan ketika menewaskan Jerman. Jadi mereka perlu melakukan satu lagi kejutan untuk mara ke kelompok 16 terakhir.

Jepun juga berpeluang layak dengan mencatat keputusan seri berdepan Sepanyol namun segalanya bergantung kepada keputusan membabitkan Costa Rica berdepan Jerman.

Moriyasu menggesa pemainnya supaya memberi tumpuan pada latihan sekalipun sukar menerima kekalahan kepada Costa Rica.

"Kami tidak mahu terlalu memberi tekanan atau terlalu bertahan - pendekatan saya tidak berubah.

"Sudah tentu apabila kami menang saya sangat gembira dan kami mengalami kekalahan seperti semalam yang pasti mengecewakan. Tetapi kami tidak mahu mempamerkan prestasi turun naik seperti kami sedang menaiki 'roller-coaster'." katanya.

Jepun seperti hilang punca berbanding ketika mengejutkan Jerman ketika mereka bergelut untuk memecahkan kebuntuan dengan Costa Rica pula memanfaatkan hanya satu peluang percubaan tepat untuk menghampakan wakil Asia itu.

Skuad Samurai Biru itu pula dilihat kurang idea dan memberi ancaman ke gawang Costa Rica, dengan dua sepak percuma adalah peluang terbaik mereka menghasilkan jaringan.

Moriyasu berkata dia sentiasa menjangkakan perlu mengharungi tiga perlawanan untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Kami sudahpun melupakan perkara yang lalu dan kami bersedia dengan perlawanan berdepan Sepanyol.

"Apa sahaja keputusan bagi dua perlawanan awal biarkan berlalu, anda perlu memikirkan hanya mengenai aksi seterusnya.

"Kami sudah mengenal pasti kelemahan itu dan kami mengubahnya kepada tenaga untuk perlawanan berdepan Sepanyol." katanya.

Moriyasu juga sedar ujian yang bakal dihadapi pemainnya apabila berdepan Sepanyol yang sudah menjaringkan lapan gol dalam kejohanan itu setakat ini.

"Mereka berkemampuan menggunakan teknik mereka apabila aksi sukar dan pantas, menghantar bola sesama mereka.

"Mereka adalah pasukan terbaik dalam dunia yang melakukan perkara itu." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 1:29 AM