Pemain Brazil, Casemiro meraikan jaringan berdepan Switzerland pada saingan Piala Dunia. FOTO AP
Pemain Brazil, Casemiro meraikan jaringan berdepan Switzerland pada saingan Piala Dunia. FOTO AP
AFP

Doha: Skuad Brazil seperti hilang sengat tanpa kehadiran Neymar yang diketepikan kerana kecederaan sehingga perlu menunggu jaringan lewat Casemiro untuk mengatasi Switzerland, 1-0, sebentar tadi.

Kemenangan membolehkan juara dunia lima kali itu mengesahkan tempat ke kelompok 16 terbaik Piala Dunia dengan berbaki satu perlawanan.

Skuad Brazil dikecewakan dengan aksi liat dipamerkan Swiss di Stadium 974 Doha dan ia kelihatan seperti akan berakhir dengan berkongsi satu mata selepas jaringan Vinicius Junior pada babak kedua tidak dibenarkan selepas pemeriksaan VAR.

Begitupun, ketika permainan berbaki tujuh minit Bruno Guimaraes mengumpan bola kepada Casemiro yang berada di dalam kotak penalti dan pemain tengah Manchester United itu melakukan rembatan voli untuk gol tunggal perlawanan.

Skuad kendalian Tite adalah pasukan kedua yang layak dalam kelompok 16 terakhir selepas Perancis memenangi kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan mereka di Qatar setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 2:32 AM