VINICIUS (kanan) bersama Pedro ketika sesi latihan skuaad Brazil. FOTO EPA
VINICIUS (kanan) bersama Pedro ketika sesi latihan skuaad Brazil. FOTO EPA
Reuters

Doha: Brazil harus kekal tenang sekalipun menjadi tumpuan sebagai pasukan pilihan menjulang trofi Piala Dunia kali ini dan membuka kempen Kumpulan G menentang Serbia, awal pagi Jumaat.

Tekanan kini kian dirasai apabila Brazil mahu mencipta rekod muncul juara kali keenam dengan skuad dipenuhi pemain berbakat besar dan wajah baharu apabila 16 daripada mereka akan tampil kali pertama di pentas tertinggi itu.

Generasi baharu pemain berbakat itu termasuk Vinicius Jr, Rodrygo, Raphinha, Eder Militao, Bruno Guimaraes dan Antony yang kini beraksi di kelab elit di Eropah.

Mengetuai pemain muda itu adalah bintang sedang berada pada prestasi terbaik, Neymar, yang memastikan Brazil menang 37 daripada 50 perlawanan sejak tewas di tangan Belgium di suku akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.

Sepanjang tempoh itu, Brazil hanya kalah sekali dalam perlawanan rasmi iaitu 0-1 kepada musuh ketat, Argentina di final Copa America.

Mereka dibolosi 19 gol sehingga ke Piala Dunia kali ini, termasuk menamatkan 33 daripada 50 perlawanan tanpa bolos.

Latar belakang Tite sebagai jurulatih mengutamakan pertahanan bermakna terdapat banyak spekulasi berhubung pemilihan pemain untuk menentang Serbia dengan persoalan terbesar mengenai Vinicius Jr.

Pemain berusia 22 tahun itu menjaringkan gol kemenangan Real Madrid di final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Liverpool, musim lalu dan menduduki tempat kelapan dalam anugerah Ballon d'Or bulan lalu dan berada pada kelas dunia pada musim kelima bersama gergasi La Liga itu.

Bagaimanapun, tempatnya dalam kesebelasan utama belum dipastikan apabila Tite tidak mendedahkan sama ada mahu menggandingkan Fred bersama rakan sepasukannya di Manchester United, Casemiro untuk menguatkan jentera tengah atau menurunkan Vinicius di depan bersama Neymar, Richarlison dan Raphinha.

Malah, pemain tidak pasti sama ada diturunkan atau tidak menentang Serbia, yang layak automatik ke Qatar selepas bangkit menewaskan Portugal 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kelayakan Kumpulan A.

Secara keseluruhan, Serbia menang enam perlawanan dan dua kali seri, menyebabkan Portugal menduduki tempat kedua kumpulan dan terpaksa beraksi di playoff.

Mereka hadir ke Piala Dunia dengan yakin selepas menduduki tangga teratas kumpulan di Liga Negara-Negara, sekali gus dinaikkan pangkat ke Liga A selepas menang 2-0 di Norway menerusi jaringan Dusan Vlahovic dan Aleksandar Mitrovic.

Serbia tidak pernah melepasi peringkat kumpulan di Piala Dunia sejak berpecah dengan Yugoslavia, tetapi mahu mencari momentum dalam Kumpulan G yang turut membabitkan Switzerland dan Cameroon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 9:36 PM