Pengendali Brazil, Tite memberi arahan kepada pemainnya ketika aksi berdepan Switzerland. FOTO AFP
Pengendali Brazil, Tite memberi arahan kepada pemainnya ketika aksi berdepan Switzerland. FOTO AFP
Reuters

Doha: Pengendali Brazil, Tite dijangka melakukan penggiliran bagi skuad Piala Dunia untuk aksi terakhir Kumpulan G mereka berdepan Cameroon pada awal pagi Sabtu ini.

Ia bagi memastikan barisan pemainnya cergas untuk aksi 16 terakhir minggu depan jika mereka menamatkan saingan di kedudukan teratas kumpulan.

Skuad Samba sudah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati selepas dua kemenangan. Brazil dapat merehatkan beberapa pemain dan menanti kepulangan pemain termasuk Neymar, Alex Sandro dan Danilo dari kecederaan.

Pertahanan kiri Juventus, Alex Sandro mengalami kecederaan tulang pinggul ketika Brazil menang 1-0 ke atas Switzerland sementara penyerang Paris St-Germain, Neymar dan pertahanan kanan Juventus, Danilo mengalami kecederaan pergelangan kaki pada aksi pembukaan ketika menang 2-0 ke atas Serbia.

Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar tidak memberi tempoh tertentu untuk pemain berikut kembali beraksi.

Beberapa pemain Brazil mengalami demam pada Ahad, antaranya pemain tengah, Lucas Paqueta yang terlepas sesi latihan dan beraksi pada perlawanan menentang Switzerland sebelum digantikan pada babak kedua.

Menurut stesen televisyen Brazil, Globo, Tite sudah memaklumkan pasukan mengenai perancangannya memberikan beberapa pemain untuk beraksi buat pertama kali pada saingan Piala Dunia Qatar apabila berdepan wakil Afrika itu.

Cameroon masih berpeluang layak tetapi Brazil adalah pasukan pilihan di Piala Dunia tidak mempunyai alasan dan mempunyai kelompok pemain berbakat antaranya penjaga gol Manchester City, Ederson; pemain sayap Manchester United, Antony; dua gandingan penyerang Arsenal, Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli; pemain Newcastle United Bruno Guimaraes dan pemain Liverpool, Fabinho.

Cameroon akan berdepan Brazil tanpa penjaga gol mereka Andre Onana, yang digugurkan daripada skuad negaranya kerana masalah disiplin.

Brazil berada di kedudukan teratas kumpulan jika mereka seri atau menang. Jika mereka tewas dan Switzerland menewaskan Serbia, kedudukan tempat teratas akan ditentukan menerusi perbezaan gol.

Switzerland di tempat kedua dengan tiga mata, dua mata mengatasi Serbia dan Cameroon juga mempunyai satu mata. Kedua-duanya memerlukan kemenangan untuk mengintai peluang mara sebagai pasukan di tempat kedua, yang akan ditentukan menerusi perbezaan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 8:56 PM