Pemain tengah Switzerland, Xherdan Shaqiri menjalani latihan menjelang aksi berdepan Brazil. FOTO AFP
Pemain tengah Switzerland, Xherdan Shaqiri menjalani latihan menjelang aksi berdepan Brazil. FOTO AFP
Reuters

Doha: Tonggak tengah, Xherdan Shaqiri berkata Switzerland akan mengharungi perlawanan peringkat kumpulan di Piala Dunia berdepan Brazil dengan lebih pengalaman dan yakin mereka mampu melakar kejutan selepas seri berdepan Brazil di Piala Dunia 2018.

Aksi Kumpulan G di Qatar esok adalah yang ketiga buat Switzerland berdepan Brazil pada Piala Dunia. Kali terakhir pertembungan mereka adalah pada saingan peringkat kumpulan di kejohanan 2018 dekat Rusia apabila mereka seri 1-1.

Shaqiri yang mewakili Switzerland pada empat Piala Dunia berkata pasukannya mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik menentang Brazil pada kali ini.

"Ia adalah hasil yang positif. Kami sedar dengan apa yang kami boleh lakukan dan saya fikir kami mempamerkan peningkatan. Kami mempunyai lebih banyak pengalaman dan sering memberi cabaran kepada pasukan yang kuat," kata Shaqiri.

Switzerland mara ke peringkat kalah mati dalam tiga daripada empat penampilan di Piala Dunia namun tersingkir peringkat kumpulan pada 2010.

Brazil yang tidak pernah tewas ketika kelayakan untuk ke Qatar, memenangi Piala Dunia lima kali dan antara pasukan pilihan untuk meraih gelaran keenam mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 11:40 PM