AKSI Shaqiri meledak rembatan ke gawang Turki.  FOTO EPA
AKSI Shaqiri meledak rembatan ke gawang Turki. FOTO EPA
AFP

Baku: Penjaring gol Switzerland Xherdan Shaqiri berkata, dia bangga dengan prestasi pasukannya selepas menang 3-1 ke atas Turki untuk menduduki tangga ketiga Kumpulan A Euro 2020.

Bagaimanapun, mereka perlu menunggu keputusan perlawanan kumpulan lain bagi menentukan nasib seterusnya sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik .

Switzerland seri dengan Wales dalam aksi pertama kejohanan sebelum tewas 0-3 kepada Itali.

"Adalah penting menunjukkan reaksi sebagai satu pasukan, satu unit dan itulah yang kami lakukan,'' kata Shaqiri.

"Saya bangga, mereka benar-benar menunjukkan reaksi yang bagus. Kami akan tunggu dan lihat pasukan lain. Paling utama hari ini ialah menang dan sekarang kami akan tunggu,'' katanya.

Shaqiri meledak dua jaringan termasuk rembatan cantik dari luar kotak penalti pada babak pertama.

Pemain Liverpool itu kini mengumpul 25 gol untuk negaranya selepas hanya beraksi 22 perlawanan peringkat kelab musim lalu.

"Gol pertama saya dengan kaki kiri memang bagus,'' katanya. ''Kami beraksi seperti satu unit dan ia penting hari ini ketika menentang pasukan ini. Kami tahu jika kami bagus, kami akan mencipta lebih banyak peluang dan kami melakukannya.

"Kami sepatutnya mendapatkan satu atau dua lagi gol tapi akhirnya yang penting kemenangan dan kami melaksanakannya."

Switzerland mempunyai 23 percubaan tetapi Turki tetap mengancam dengan Irfan Kahveci menjaringkan gol pada babak kedua.

"Saya agak kecewa dengan gol itu," kata Shaqiri. "Itu satu-satunya yang saya tidak gembira.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 9:34 AM