DAUD yakin kekuatan Sang Kenari dapat ditingkatkan dengan perubahan yang akan dilakukan di ruang tengah. FOTO ihsan Facebook Mohd Daud Bakar
DAUD yakin kekuatan Sang Kenari dapat ditingkatkan dengan perubahan yang akan dilakukan di ruang tengah. FOTO ihsan Facebook Mohd Daud Bakar
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merancang melakukan perubahan bagi meningkatkan kekuatan ruang tengah pasukan dengan mengambil pemain baharu pada tempoh jendela perpindahan kedua yang akan bermula pada 5 Julai depan.

Menurut pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, perancangan memasukkan dua atau tiga pemain baharu sedang diusahakan terutama ruang tengah selepas mengenalpasti kelemahan melalui beberapa aksi yang dilalui sebelum ini.

"Kita tidak boleh mengambil mudah dengan barisan pemain kita dan saya bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Khamal Idris Ali dan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain berbincang dan merancang kemungkinan dua atau tiga pemain baharu akan dibawa Julai akan datang.

"Insya-Allah akan ada muka baharu untuk menampung kelompongan yang ada dalam pasukan dan dengan adanya dua atau tiga muka baharu ini dapat memberi lebih kekuatan dan memberi inspirasi kepada penyokong yang melibatkan pemain tempatan dan juga import diatas padang.

"Kekuatan kita sebenarnya bergantung di bahagian tengah dan kita akan cuba untuk perkuatkan bahagian itu," katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan semasa pasukan selepas menewaskan Sabah FC 2-1 dan terbaharu Perak FC 3-0 rabu lalu, Mohd Daud juga berkata pihaknya berpuashati dengan usaha kebangkitan yang ditunjukkan Sang Kenari dalam mengekalkan kedudukan kelompok empat pasukan teratas liga pada ketika ini.

"Saya rasa resipi 'Nafuzi ball' sudah berjalan dan walaupun belum lagi sempurna untuk pasukan namun ianya dapat menghayati satu falsafah bola sepak baharu buat Sang Kenari.

"Saya dan Khamal berpuashati dan ingin melihat lagi perkembangan yang konsisten hingga tahap lebih tinggi menjadi pasukan hampir lengkap dalam baki perlawanan musim ini," katanya.

Selepas menempuhi 14 perlawanan Liga Super, KDA FC kini berada pada tangga ketiga dengan mencatat 28 mata melalui sembilan kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 2:47 PM