HIDALGO (tengah) bersama Mohd Daud (kanan) dan Khamal Idris sebagi tiba di Alor Setar. FOTO IZZALI ISMAIL
HIDALGO (tengah) bersama Mohd Daud (kanan) dan Khamal Idris sebagi tiba di Alor Setar. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Hidalgo mahu menjadikan saingan Liga Malaysia 2023 sebagai musim kejayaan buat dirinya bersama Sang Kenari.

Beliau yang disambut puluhan penyokong KDA FC sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, pada 2.30 petang hari ini, berkata banyak perancangan yang dirancang dan sedang dilakukan KDA FC pada musim baharu ini antara tarikan untuk beliau memilih pasukan itu.

Turut hadir menyambut ketibaan pemain import kelahiran Argentina ini ialah Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali.

"Sejak beraksi di Liga M, saya lihat Kedah adalah pasukan hebat dan besar. Berdasarkan perancangan dan apa yang sedang dilakukan pasukan dibimbing ketua jurulatih, Nafuzi Zain ini, saya yakin Kedah mahu mencapai sesuatu pada musim ini.

"Saya sudah bercakap dengan Nafuzi sebelum ini dan faham perancangan yang mahu beliau lakarkan dan tugas saya adalah menterjemahkan setiap perancangan itu.

"Sasaran saya pada musim ini adalah memenangi sebanyak mungkin kejuaraan dan membantu Kedah menjadi pasukan hebat dan terus mengekalkan kejayaan pernah dicapai sebelum ini," katanya.

Hidalgo atau lebih mesra dipanggil Manu adalah bekas pemain Sri Pahang FC (SPFC) musim lalu dan diumumkan menyertai Sang Kenari pada 5 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 9:33 PM