KHAMAL (tengah) ketika menyambut ketibaan Amirbek Juraboev. FOTO FB KDA FC
KHAMAL (tengah) ketika menyambut ketibaan Amirbek Juraboev. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang sedang melengkapkan keseluruhan pasukan meletakkan harapan tinggi untuk kembali memberi saingan dalam kelompok teratas Liga Super pada musim 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Sang Kenari, Khamal Idris Ali berkata, pemilihan pemain yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain cukup mendalam bagi memastikan kualiti dipersembahkan Sang Kenari mampu membuahkan kejayaan yang disasarkan.

"Kedah adalah pasukan dengan nama yang besar dan saya yakin senarai pemilihan yang telah dilakukan ketua jurulatih, Nafuzi Zain adalah pemilihan terbaiknya dalam usaha memastikan kita boleh kembali berada pada tahap persaingan di kelompok teratas Liga Super nanti.

"Sang Kenari cukup serius dalam pemilihan pemain dan juga pembentukan pasukan pada musim ini di mana kita tahu musim yang bakal bermula ini adalah lebih sengit dan semua pasukan akan berdepan dengan lebih banyak jumlah perlawanan.

"Oleh itu, atas pengalaman yang sudah dilalui pada 2022 lalu, ia membuatkan kami berfikir dengan lebih mendalam tentang perubahan yang perlu dilakukan demi kejayaan Kedah," katanya.

Khamal yang temui ketika turut sama menyambut ketibaan import pertama Sang Kenari, Amirbek Juraboev bersama penyokong berkata, semua pemilihan pemain tempatan dan juga import musim 2023 sudah dimuktamadkan dan hanya menanti kehadiran beberapa import lagi yang akan tiba ke Kedah dalam jangkamasa terdekat.

"Keseluruhan import akan hadir secara berperingkat ke Kedah dalam tempoh terdekat dan ini dimulakan dengan Amirbek (Juraboev) yang pertama dan saya berharap ketibaan mereka yang lain dapat mengikut jadual yang dijangkakan jika tiada apa apa perubahan jadual penerbangan dan proses kemasukan," katanya.

"Saya jangkakan pasukan Kedah akan lebih menarik untuk disaksikan pada musim 2023 ini berbanding musim lalu dan semoga perkara ini dapat dibuktikan di atas padang apabila mereka mula beraksi nanti", katanya.

Pada masa yang sama Khamal berharap penyokong terus bersabar menantikan senarai penuh 25 pemain yang akan diumumkan sedikit masa lagi kerana terdapat banyak spekulasi yang melibatkan nama-nama pemain berlegar dalam berita media sosial yang tidak tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 6:20 PM