Reuters

Doha: Poland dan Arab Saudi berdepan situasi berbeza menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Kumpulan C Piala Dunia malam esok dengan tekanan lebih kepada Poland selepas bermula dengan keputusan seri manakala lawannya itu mengejutkan Argentina.

Arab Saudi mencipta kemenangan sensasi 2-1 ke atas Argentina Selasa lalu dan tidak diragui mampu mengulanginya ke atas Poland yang hambar ketika menentang Mexico menyaksikan Robert Lewandowski masih kempunan menjaringkan gol di Piala Dunia selepas gagal menyempurnakan penalti.

Arab Saudi yang berada di ranking kedua paling rendah di kejohanan ini hanya di atas Ghana mengintai peringkat 16 terakhir kali pertama sejak disingkirkan Sweden pada 1994.

Poland wajib menang bagi mencerahkan impian mara ke kelompok 16 kali pertama sejak 1986.

"Keputusan ini tidak memberi kelebihan kepada kami atau Mexico," kata jurulatih Poland, Czeslaw Michniewicz selepas tamat perlawanan Selasa lalu.

Bagaimanapun, beberapa pemain Poland tampak berputus asa berdepan Argentina pada aksi terakhir yang menambahkan tekanan mereka apabila wajib menewaskan Arab Saudi.

"Sukar untuk kami mendapatkan mata pada aksi terakhir, kami mungkin kalah," kata penjaga gol Wojciech Szczesny.

Namun berbeza dengan Arab Saudi yang kini mendapat suntikan semangat terbaik selepas kemenangan ke atas Argentina yang memberikan keyakinan tinggi bagi menentang Poland.

Poland yang mengecewakan penyokong mereka dan Lewandowski dengan pendekatan bertahan perlu meningkatkan ketajaman serangan jika tak mahu tersingkir daripada kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 11:27 AM
LEWANDOWSKI  (kiri) dan rakan sepasukan ketika sesi latihan di Doha.
LEWANDOWSKI (kiri) dan rakan sepasukan ketika sesi latihan di Doha.