OCHOA wira Mexico ketika menentang Poland.
OCHOA wira Mexico ketika menentang Poland.
Reuters

Doha: Penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa berkata, dia berasa sangat bermotivasi menjelang aksi penting menentang Argentina awal pagi Ahad ini dan sedia menyekat 'magis' Lionel Messi.

Ochoa yang tampil kali kelima di Piala Dunia muncul wira Mexico kelmarin selepas menyelamatkan penalti penyerang Poland, Robert Lewandowski bagi membolehkan pasukannya seri dalam aksi pertama Kumpulan C di Qatar.

Mexico boleh mencipta kejutan dengan meraih tiga mata dan menyingkirkan Argentina selepas gergasi Amerika Selatan itu yang juga pasukan pilihan tewas mengejut 1-2 kepada Arab Saudi.

"Kami sedia bersaing. Messi mempunyai magis. Dia mampu mengatasi masalah dan mengubah keputusan dalam masa seminit," kata penjaga gol berusia 37 tahun itu semalam.

"Ia pastinya cabaran menarik, mungkin sukar tetapi tiada yang lebih menarik daripada menyekat Messi di Piala Dunia."

Kapten Mexico itu menambah Piala Dunia adalah pentas untuknya menguji kemampuan berdepan pemain terbaik.

"Saya tak suka, 'hei, saya tak mahu menentang dia atau sesiapa kerana sukar'. Sebaliknya, saya mahu tampil cemerlang menewaskan mereka," kata Ochoa.

Selepas berdepan Argentina, Mexico menentang pendahulu kumpulan Arab Saudi awal pagi Khamis minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 10:01 AM