AKSI Ochoa menyelamatkan sepakan penalti Lewandowski. FOTO AP
AKSI Ochoa menyelamatkan sepakan penalti Lewandowski. FOTO AP
AFP

Doha: Robert Lewandowski sekali lagi mengalami detik mengecewakan di Piala Dunia selepas penyerang Poland itu gagal menjaringkan penalti ketika seri 0-0 dengan Mexico, awal pagi tadi.

Lewandowski tidak pernah meledak gol di Piala Dunia dan penyerang Barcelona itu mengakui menjadi impiannya untuk menamatkan kemarau jaringan di pentas dunia.

Namun harapan pemain berusia 34 tahun bertukar mimpi ngeri selepas sepakannya diselamatkan penjaga gol Guillermo Ochoa.

"Saya gagal jaringkan gol, ia menyakitkan," katanya kepada media Poland.

"Ia penalti, loteri dan anda tak dapat jelaskannya."

Lewandowski yang juga penjaring terbanyak Poland dengan 76 gol, meledak 18 kali dalam 19 penampilan bersama Barcelona, kelab disertainya pada hujung musim lalu selepas mencetak 344 gol dan menjulang lapan trofi ketika di Bayern Munich.

Namun Piala Dunia seperti badi kepada Lewandowski dengan kegagalan menjaringkan penalti itu yang terbaru selepas gagal meledak gol untuk Poland dalam tiga perlawanan ketika mereka tersingkir di peringkat kumpulan empat tahun lalu.

Kemenangan mengejut 2-1 Arab Saudi ke atas Argentina semalam membolehkan persaingan masih terbuka dalam Kumpulan C untuk ke peringkat 16 terakhir.

Namun keputusan seri itu menghampakan kedua-dua pasukan dengan Lewandowski terlepas peluang keemasan manakala Mexico lebih menguasai perlawanan tetapi gagal mendapatkan jaringan.

"Kami sepatutnya menang jika sentuhan penyudah lebih tajam," kata jurulatih Mexico, Gerardo Martino.

"Kami ada aksi 'final' selepas ini iaitu menentang Argentina."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 8:40 AM