BALE (kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti. FOTO AP
BALE (kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti. FOTO AP
AFP

Al-Rayyan: Gareth Bale menjaringkan penalti lewat permainan untuk memastikan keputusan seri 1-1 dengan Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi pada perlawanan pertama Wales di Piala Dunia dalam tempoh 64 tahun.

Kapten Wales itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82 sekali gus mencewakan AS selepas pertahanan, Walker Zimmerman mengasari bekas bintang Real Madrid itu.

Gol penyamaan itu menafikan jaringan menarik Tim Weah di separuh masa pertama sekali gus hampir mencewakan Wales pada penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak edisi 1958 di Sweden.

Gol penyamaan Bale disambut meriah penyokong Wales di Stadium Ahmad Bin Ali di pinggir Doha.

Bale berkata pengurus, Rob Page memberi kata-kata semangat kepada barisan pemain Wales selepas aksi hambar pada separuh masa pertama.

"Jelas sekali aksi yang sukar. Separuh masa pertama bukan seperti yang kami mahukan.

"AS bermain dengan baik dan kami bermain dengan teruk. Kami bermain dengan sangat baik pada separuh masa kedua.

"Keputusan yang bagus tetapi kami lebih gembira jika meraih tiga mata penuh," kata Bale.

Page memuji Bale yang berusia 33 tahun dalam memenangi penalti.

"Dia sangat pandai mencari ruang itu. Dia bijak dan menggunakan segala pengalaman yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 6:55 AM