MANE tidak dapat bersama Senegal di Piala Dunia Qatar 2022. FOTO fail AFP
MANE tidak dapat bersama Senegal di Piala Dunia Qatar 2022. FOTO fail AFP
AFP

Doha: Pemain bintang Senegal, Sadio Mane tidak sempat pulih untuk beraksi di Piala Dunia dan terpaksa menarik diri daripada pasukan, umum persekutuan bola sepak negara ini, hari ini.

Kelabnya, Bayern Munich kemudian menyatakan, pemain berusia 30 tahun itu yang menduduki tempat kedua undian the Ballon d'Or di belakang Karim Benzema, bulan lalu, selamat menjalani pembedahan ke atas tendon yang bersambung dengan tulang kering kanannya di Innsbruck.

Bayern berkata, Mane akan menjalani proses pemulihan di Munich dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Kehilangan penyerang berbisa itu adalah tamparan hebat buat Senegal apabila Mane menjaringkan sepakan penalti penentuan untuk menewaskan Mesir dan muncul juara Piala Negara-Negara Afrika, sebelum sekali lagi menundukkan lawan sama untuk layak ke Piala Dunia.

Mane diundi Pemain Terbaik Afrika dan menjaringkan 33 gol dalam 92 penampilan untuk Senegal.

Dia mengalami kecederaan itu ketika beraksi untuk Bayern awal bulan ini, tetapi dinamakan dalam skuad ke Piala Dunia dengan harapan dia sempat pulih.

Tetapi, hari ini, Senegal mengesahkan bekas pemain Liverpool itu tidak dapat beraksi.

"Malangnya, ujian MRI menunjukkan peningkatan yang tidak seperti yang kami bayangkan dan kami tidak dapat menurunkan Sadio untuk Piala Dunia," kata doktor pasukan, Manuel Afonso menerusi video di akaun Twitter rasmi Senegal.

Senegal sangat berharap penyerang itu akan cergas untuk menentang Belanda pada 21 November diikuti perlawanan dengan tuan rumah, Qatar dan Ecuador dalam Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 7:54 AM