KECEDERAAN kaki Mane (kiri) mencetuskan kebimbangan dia boleh terlepas aksi di Piala Dunia Qatar 2022. FOTO AP
KECEDERAAN kaki Mane (kiri) mencetuskan kebimbangan dia boleh terlepas aksi di Piala Dunia Qatar 2022. FOTO AP
AFP

Munich: Kecederaan kaki penyerang Senegal, Sadio Mane tidak terlalu teruk, kata penolong jurulatih Bayern Munich, Dino Toppmoeller, hari ini.

Mane digantikan berikutan kecederaan kaki pada awal perlawanan ketika Bayern melayan kunjungan Werder Bremen dan digantikan bekas pemain sayap Manchester City, Leroy Sane pada minit ke-20.

Bekas bintang Liverpool itu kemudian terus dibawa menuju ke terowong untuk rawatan lanjut.

Kecederaan itu menimbulkan kerisauan pemenang dua kali Anugerah Pemain Terbaik Afrika itu mungkin tidak cergas apabila Senegal memulakan kempen di Piala Dunia.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, Topmoeller mengurangkan kerisauan terhadap kemungkinan Mane terlepas kempen itu apabila menyatakan diagnosis awal mengesan kecederaan saraf kaki.

"Saraf kakinya cedera akibat terhentak, keadaannya tidak terlalu teruk."

Senegal akan membuka kempen Kumpulan A di Qatar 2022 dengan menentang Belanda pada 21 November diikuti perlawanan dengan tuan rumah dan Ecuador.

Sepakan penalti Mane ketika penentuan sepakan penalti memastikan Senegal menewaskan Mesir untuk menjulang trofi Piala Negara Afrika buat kali pertama, awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 9:30 AM