MANE ketika beraksi bersama Bayern dalam saingan Liga Juara-Juara Kumpulan C. -FOTO AFP
MANE ketika beraksi bersama Bayern dalam saingan Liga Juara-Juara Kumpulan C. -FOTO AFP
AFP

Paris: Bayern Munich memaklumkan bahawa penyerang Senegal, Sadio Mane sedang dalam perbincangan "tentang pertukaran kelab."

Juara Jerman itu mengenepikan Mane daripada perlawanan persahabatan, menyiarkan di Twitter: "Sadio Mane sedang dalam rundingan kontrak mengenai pertukaran kelab dan oleh itu tidak berada dalam barisan pemain hari ini."

Menurut beberapa media, bekas bintang Liverpool berusia 31 tahun itu dijangka menjadi pemain berprofil tinggi terkini akan menyertai liga Saudi yang terkenal dengan kekayaan untuk bersama Al Nassr.

Sementara itu majalah Bild dan Kicker melaporkan Mane sedang dalam perjalanan untuk menjalani pemeriksaan perubatan dengan Al Nassr dengan jurulatih Bayern, Thomas Tuchel enggan mengulas mengenai masa depan pemain itu.

"Kami masih dalam jendela perpindahan dan saya ingin melihat apa yang berlaku dan tunggu dan lihat perkara seterusnya yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas Bayern menang 1-0 ke atas Kawasaki Frontale di Jepun.

Mane akan menjadi satu lagi pemain terkemuka yang berjaya di beli oleh kelab Arab Saudi selepas berjaya memikat Cristiano Ronaldo, pemenang Ballon d'Or lima kali.

Mane pernah menjulang Liga Juara-Juara dan Liga Perdana ketika enam musim bersama Liverpool dan adalah pemain yang memainkan watak penting dalam barisan tiga penyerang Jurgen Klopp bersama-sama Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Pada 2022, apabila dia memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika, dia meninggalkan Anfield untuk bersama Bayern.

Selepas permulaan yang kukuh di Bayern, tidak lama kemudian Mane seperti tidak serasi bermain di Bavaria.

Ketika perlawanan Bundesliga menentang Werder Bremen November lalu, Mane mengalami kecederaan pada fibulanya menyebabkan permulaan musimnya bersama juara Jerman itu tertangguh.

Kecederaan itu turut menyaksikan dia terlepas penampilan di Piala Dunia di Qatar pada penghujung tahun lalu dalam menjadi tamparan hebat kepada Senegal.

Ketika Mane kembali ke pasukan Bayern pada 2023, dia terbabit dalam pertengkaran dengan rakan sepasukan Leroy Sane selepas kekalahan dalam aksi Liga Juara-Juara kepada Manchester City.

Bayern dilaporkan mendenda Mane sekitar €350,000 (RM1.7 juta) dan menggantungnya satu perlawanan atas peranannya dalam insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 9:00 PM