HARIMAU Malaya miliki strategi jinak Vietnam.
HARIMAU Malaya miliki strategi jinak Vietnam.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Serangan kilat Vietnam bakal menjadi cabaran terbesar buat skuad Harimau Malaya dalam pertemuan hidup mati apabila bertembung dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum di Dubai, Sabtu ini.

Skuad negara yang wajib memburu tiga mata penuh untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya daripada Kumpulan G perlu menyekat serangan balas Vietnam yang diakui sangat efektif dan ia terbukti apabila skuad Naga Emas itu berjaya membelasah Indonesia 4-0, awal pagi semalam.

Menurut pengendali negara, Tan Cheng Hoe, kepantasan pemain Vietnam ketika menentang Indonesia amat terserlah dan beliau sendiri turut hadir ke Stadium Al Maktoum untuk memantau aksi itu.

Bagaimanapun, beliau sudah merangka beberapa strategi ampuh untuk mengekang asakan lawan terutama daripada serangan balas.

"Memang kita tahu dari segi kekuatan pasukan Vietnam adalah dari segi kelajuan mereka, kerjasama berpasukan dan semangat juang yang tinggi.

"Itulah sebab kita perlu berjaga-jaga dari segi serangan balas mereka yang pantas dan laju sambil bekerja keras memastikan benteng kita tidak mudah dibolosi.

"Dalam bola sepak apa yang penting itu transisi, apabila kita bertahan atau menyerang kita kena cepat bertindak. Kita perlu pantas mengambil peluang dengan baik. Kita perlu mengurangkan kesalahan individu dan fokus setiap saat," katanya pada sidang media secara maya, semalam.

Mengulas mengenai ketiadaan tonggak utama Vietnam, Nguyen Quang Hai yang terlepas perlawanan bertemu Malaysia selepas mengutip kad kuning kedua ketika berdepan Indonesia, Cheng Hoe mengakui ia berita baik buat Harimau Malaya.

"Kita tahu Nguyen Quang Hai pemain bahaya Vietnam dan dia banyak menyumbang gol. Mungkin sedikit sebanyak khabar gembira untuk pasukan kebangsaan.

"Tetapi jurulatih mereka ada sebut mereka tak terlalu khuatir kehilangannya, malah dia juga ada pelan lain untuk gantikan pemain nombor 19 ini, tetapi kita kena ambil kesempatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 6:40 AM