SELANGOR FC dijangka merehatkan Caion pada perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia menentang NSFC, Ahad ini. FOTO FB MFL
SELANGOR FC dijangka merehatkan Caion pada perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia menentang NSFC, Ahad ini. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC bakal turun tanpa peledak berbisa, Herlison Caion pada aksi aksi suku akhir pertama menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Ahad ini.

Jelas pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, keputusan itu terpaksa diambil susulan kecederaan dialami penyerang import dari Brazil itu.

"Saya nak rehatkan Caion untuk perlawanan suku akhir menentang NSFC nanti.

"Minggu lalu, dia ada sedikit kecederaan tetapi tidak serius. Atas sebab itu, saya mahu merehatkannya," katanya selepas aksi pusingan 16 dengan Kelantan United FC, malam tadi.

Dalam aksi di Stadium MBPJ itu, skuad Red Giants menang tipis 1-0 dalam aksi timbal balik untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-0.

Di sebalik kemenangan itu, Cheng Hoe mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan anak didiknya dalam aksi itu terutama membabitkan aspek hantaran.

"Saya tidak berpuas hati kerana kita melihat banyak kelemahan yang cukup ketara terutama hantaran tidak dapat dibuat dengan baik," katanya.

Untuk rekod, Selangor adalah juara terbanyak Piala Malaysia dengan 33 kali pernah menjulang trofi itu.

Hasil kemaraan ke suku akhir itu bermakna pasukan terbabit kini meneruskan misi memenanginya buat kali ke-34, musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 7:21 PM