CHENG Hoe akui pemain Selangor menunjukkan peningkatan. FOTO AZRUL EDHAM
CHENG Hoe akui pemain Selangor menunjukkan peningkatan. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe memuji karakter anak buahnya yang terus mengekalkan corak permainan agresif biarpun berhadapan tekanan daripada Negeri Sembilan FC (NSFC), dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya itu turut berpuas hati dengan komitmen dan tahap disiplin yang tinggi dipamerkan pemain Gergasi Merah, apabila berjaya mengekalkan kelebihan jaringan sehingga berakhir perlawanan.

"Kita menerima tekanan yang hebat daripada pasukan Negeri Sembilan terutama pada tempoh separuh masa kedua selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada separuh masa pertama.

"Namun, pemain saya berjaya mengawal permainan dengan menyekat setiap serangan Negeri Sembilan melalui disiplin serta semangat sepasukan yang tinggi dan berjaya menghalang pasukan lawan menambah jaringan.

"Justeru itu, pujian harus diberikan kepada semua pemain yang telah menunjukkan persembahan yang baik sepanjang tempoh permainan dan membawa kita ke peringkat separuh akhir," katanya pada sidang media selepas berakhir perlawanan, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Negeri Sembilan mengikat Selangor 2-2, namun Red Giants melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia menerusi kemenangan agregat 4-2 selepas mereka menang 2-0 pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad lalu.

Selangor terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Caion De Souza pada minit kesembilan manakala gol kedua oleh Yazan Mahmoud pada minit ke-44.

Skuad Hobin Jang Hobin pula mendapatkan jaringan menerusi Matheus Alves menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 dan gol kedua dijaringkan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-45.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe akui lega kerana mental pemainnya tidak terganggu selepas terikat 2-2, sebaliknya mereka dapat bertahan dengan baik dan kekal fokus hingga tamat perlawanan.

Beliau akui pasukannya perlu membuat persiapan terbaik menjelang aksi separuh akhir menentang Terengganu FC (TFC), untuk memastikan impian melangkah ke pentas final bagi merebut trofi berprestij itu dapat direalitikan.

Pengendali yang pernah membimbing Kedah Darul Aman (KDA) FC itu sedar terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberikan tumpuan terutama kawalan dalam kawasan gol.

"Apapun, saya yakin dengan persembahan pemain yang mula menunjukkan peningkatan dan mereka beransur-ansur telah dapat beradaptasi dengan corak permainan diperlukan.

"Saya berharap mereka dapat terus menampilkan aksi konsisten pada separuh akhir nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 2:16 PM