LAPORAN terdahulu
LAPORAN terdahulu
Samadi Ahmad

Putrajaya: Semua bakal jemaah haji yang terkandas di Makkah, dipercayai terpedaya dengan agensi yang menawarkan pakej haji murah, dinasihat menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau maklum dengan kejadian itu dan bersimpati dengan nasib kira-kira 300 individu berkenaan.

Katanya sudah mengarahkan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk meneliti perkara itu dan melakukan siasatan lanjut.

"Bagaimanapun semua mangsa yang terlibat dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Na'im berkata, kerajaan melalui TH sentiasa memberi peringatan kepada umat Islam di negara ini agar berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej haji murah oleh segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.

Katanya, amaran turut diberi kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan agar tidak menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan.

Menurutnya, ia boleh satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

"TH telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1445H/2024M dan ia adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH setiap tahun.

"Umat Islam dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat yang dilantik sebagai PJH oleh pihak TH sahaja," katanya.

Media hari ini melaporkan kira-kira 300 bakal haji yang berada di Makkah dalam kebingungan untuk mengerjakan haji, selepas agensi yang menguruskan mereka menggunakan visa pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 7:13 PM