BARISAN pemain negara yang akan mengibarkan cabaran di Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024. -FOTO PSM
BARISAN pemain negara yang akan mengibarkan cabaran di Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024. -FOTO PSM
Oleh Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Sistem kiraan mata baharu yang diperkenalkan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 adalah peluang terbaik untuk dimanfaatkan barisan pemain negara untuk muncul juara Piala Dunia di laman sendiri.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Mubin berkata, peluang itu juga turut terbuka luas selepas menyaksikan Thailand yang sering kali mendominasi sukan itu dan bakal menjadi penghalang utama skuad negara, membariskan rata-rata muka baharu.

"Dari segi undian, semua pasukan negara baik daripada acara double, regu mahupun berpasukan, kita tidak akan bertemu Thailand di pusingan awal dan jika bertemu sekalipun hanya di final.

"Mereka sudah mengumumkan muka baharu dan hanya Sitthipong Khamchan serta Siriwat Sakha pemain paling senior.

"Kita boleh lihat mereka juga seperti terdesak memanggil semula jurulatih Seksan Tubtong yang sebelum ini melatih pemain double negara. Mereka panggil balik untuk bantu skuad kebangsaan mereka," katanya menjelang kejohanan yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 18 hingga 26 Mei ini.

Edisi Piala Dunia kali ini akan menjadi kejohanan pertama pelaksanaan sistem mata dengan satu servis.

Terdahulu menerusi sistem tiga servis, pasukan terutamanya Thailand mampu meraih tiga mata berturut-turut menerusi servis ace.

Sementara itu, Azlan turut yakin dengan pelaksanaan sistem baharu itu, ia dapat memecahkan momentum servis tekong Thailand yang sinonim dengan 'servis kuda'.

"Secara peribadi saya percaya dengan pelaksanaan sistem mata yang baharu ini, ia sepatunya boleh menamatkan dominasi Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 5:38 PM