GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Suspek kedua kes simbah asid ke atas tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam kenyataan berkata, lelaki itu yang ditahan Isnin lalu dilepaskan selepas proses soal siasat ke atasnya selesai.

Menurut JSJ, suspek boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan.

"Tiada sebarang pengakuan daripada suspek dan siasatan masih dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan suspek lain serta mendapatkan keterangan lanjut dalam kes ini," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan suspek kedua berusia lewat 30-an itu diberkas di Bandar Baru Bangi pada Isnin, sebelum direman lima hari bagi membantu siasatan.

Semakan polis mendapati suspek yang bekerja sendiri itu mempunyai tujuh rekod lampau antaranya, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (sengaja menyebabkan kecederaan), Seksyen 395 (rompak berkumpulan), Seksyen 507 (ugutan), Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum itu, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an di Pandan Indah, Ampang pada Ahad malam, namun dibebaskan selepas direman dua hari kerana siasatan mendapati dia tiada kaitan dengan kes itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini dilaporkan berkata, pihaknya sedang dalam proses menghasilkan lakaran fotofit suspek.

Katanya, lakaran fotofit itu berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Selain itu, katanya polis sudah merakam keterangan lebih 12 individu berhubung kes itu.

Pada Ahad lalu, Faisal cedera selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 7:22 PM